WANY Hasrita. FOTO Rosela Ismail
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my

Sejak menceburi dunia seni dua tahun lalu, penyanyi Wany Hasrita, 25, sememangnya dikenali dengan imej Muslimah.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Nurshazwany Hasrita Hasbullah ini menjadi kecaman netizen hanya kerana mengayakan tudung singkat dalam gambar yang dikongsi dalam Instgram miliknya.

Mengakui kekhilafan diri, penyanyi yang terkenal menerusi lagu Menahan Rindu itu akan lebih berhati-hati apabila membabitkan pemakaian.

“Saya mengaku salah kerana memuat naik gambar itu di media sosial.

“Setiap orang mempunyai pendapat masing-masing dan saya tidak boleh menghalang netizen menyuarakan pandangan mereka.

“Oleh itu, saya menerima kritikan netizen dengan hati terbuka dan jadikan perkara ini sebagai pengajaran,” katanya.

Bagi memastikan kejadian sama tidak berulang, Wany memberitahu akan lebih tegas dengan penata gaya ketika mengubah imejnya.

“Mungkin sebelum ini saya tidak cukup tegas menyatakan pendirian dan menurut arahan penata gaya.

“Dulu, saya terima saja pakaian diberikan penaja, tetapi sekarang sudah berani untuk memberikan pendapat.

“Alhamdulillah, pihak penaja pun faham dan mereka menyediakan pakaian bersesuaian dengan imej Muslimah,” katanya.

Wany yang bakal mengeluarkan koleksi pakaian Aidilfitri berkata, dia lebih selesa tampil dengan gaya ringkas dan asalkan bukan kelihatan pelik di mata orang ramai.

Ibu kena tempias gosip

Bercerita mengenai sisi peribadi pula, Wany berkata, dia belum mempunyai kekasih hati biarpun pernah dikaitkan dengan penyanyi Tajul Arif dan Khai Bahar.

Terbaru, timbul khabar angin mendakwa Wany dan bekas anggota kumpulan Q Face, Fairuz Selamat bercinta.

Mengulas khabar angin itu, Wany memberitahu belum bersedia menjalin hubungan dengan mana-mana jejaka kerana mahu fokus terhadap karier nyanyian.

“Saya dengan Fairuz hanya rakan biasa. Kami sudah lama berkenalan sebelum masing-masing bergelar artis.

“Biasalah, apabila berjumpa mesti ambil gambar dan berkongsi di media sosial. Memandangkan kami kini bergelar artis, sudah tentu macam-macam spekulasi timbul,” katanya.

Mengakui khabar angin sedemikian memberi tekanan kepadanya, Wany mengambil pendekatan untuk tidak rapat dengan mana-mana artis lelaki.


WANY Hasrita. FOTO Rosela Ismail

“Situasi seperti ini terpaksa dihadapi sebagai artis. Apa yang saya boleh lakukan sekarang adalah lebih berhati-hati dalam setiap tingkah laku supaya khabar angin berkaitan cinta tidak timbul,” katanya.

Menurut Wany, khabar angin kononnya dia bercinta dengan rakan artis turut memberi tekanan kepada ibunya.

“Ibu turut terkena tempias apabila perkara itu menjadi bualan orang sekeliling.

“Apabila orang bercakap mengenai saya, sudah tentu dia terasa.

“Dia ibu tunggal dan kami tinggal berdua. Saya kasihan melihat ibu apabila cerita kurang enak seperti ini timbul,” katanya.

Sedia tanggung risiko

Dalam perkembangan lain, Wany turut mengikut jejak artis lain menceburi bidang perniagaan.

Bezanya, penyanyi ini bukan menjual pakaian Muslimah mahupun produk kecantikan tetapi memilih mengeluarkan produk makanan tambahan.

Menurut Wany, idea mengeluarkan produk terbabit berikutan jadual seninya yang sentiasa padat.

“Oleh kerana terlalu sibuk, kadang-kadang saya tiada masa untuk makan.

“Produk ini bagus kerana mengandungi makanan sunah iaitu kurma, safron, madu dan delima,” katanya yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan dari Management and Science University (MSU).

Sebagai usahawan baru, Wany memberitahu dia sudah bersedia berdepan risiko perniagaan dan kritikan terhadap produk yang dikeluarkan.

“Sebagai usahawan, saya perlu menerima baik segala kritikan agar dapat mengetahui kekurangan produk.

“Saya yakin dengan keberkesanan produk ini kerana sudah melakukan kajian dengan bantuan beberapa rakan yang pakar dalam bidang perubatan dan nutrisi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 4:11 AM