NORAZIAH memeluk Nik Azri Haziq. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi
cnews@hmetro.com.my

Kota Bharu: Dilahirkan dalam keadaan normal, tapi apabila berusia tiga bulan, anak bongsu daripada tiga beradik disahkan menghidap Cerebral Palsy (CP).

Berikutan itu, Nik Azri Haziq Nik Azman, 15, hilang deria penglihatan, tidak boleh berjalan dan perlu diuruskan seperti bayi.

Ibunya, Noraziah Yunus, 46, berkata, memiliki anak istimewa bukan beban sebaliknya anugerah Tuhan yang menjadi amanah untuk dijaga sebaik mungkin.

Noraziah berkata, ketika Nik Azri Haziq berusia dua bulan, dia diserang sawan selain demam panas dan ditempatkan di wad Hospital Seri Manjung, Perak selama dua hari apabila degupan jantungnya terhenti seketika.

“Selepas keadaannya stabil, doktor menjalankan pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) di Hospital Angkatan Tentera, Lumut dan mendapati ada jangkitan kuman di selaput otak kanan.

“Bagi menyelamatkan nyawa, pembedahan membuang nanah dilakukan segera. Selepas itu, dia ditempatkan di Pusat Penjagaan Intensif Pediatrik (PICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh selama sembilan hari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tembesu, Limbat di sini.

Katanya, ketika dirawat di PICU, doktor memberitahu peluang Nik Azri meneruskan hidup sangat tipis.

“Ketika dimaklumkan berita sedih itu, saya dan suami, Nik Azman Ismail, 48, hanya berdoa dan mengharapkan keajaiban berlaku.

“Alhamdulillah, berkat doa kami, Nik Azri Haziq kembali stabil dan dia dipindahkan semula ke wad biasa di Hospital Seri Manjung dan mendapatkan rawatan selama sebulan.

“Biarpun anak kami tidak membesar seperti remaja seusianya dan hanya terlantar, kami tetap bersyukur diberi kesempatan mencurahkan sepenuh kasih sayang kepadanya,” katanya.

Katanya, pendapatan suaminya sebagai pemandu hanya cukup menampung perbelanjaan mereka sekeluarga, manakala keperluan Nik Azri Haziq memerlukan sekurang-kurangnya RM400 sebulan.

“Setiap bulan saya beli susu formula berharga RM93 setin yang bertahan untuk seminggu selain lampin pakai buang untuk keperluan Nik Azri Haziq.

“Mujur ada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 sebulan untuk menampung kos keperluannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 4:45 AM