LAPORAN portal berita Harian Metro, sebelum ini.
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@nstp.com.my


“DIA seorang perahsia dan jarang menceritakan masalah dialaminya,” kata nenek kepada wanita, 28, yang diselamatkan selepas cuba membunuh diri dengan terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, semalam.

Ahli keluarga yang enggan dikenali itu berkata, wanita terbabit yang juga anak kedua daripada tiga beradik seorang pendiam.

“Namun sejak beberapa tahun lalu, sikap pendiamnya semakin jelas sehingga merisaukan ahli keluarga lain.

“Dia jarang menceritakan masalahnya kepada ahli keluarga selain jarang keluar rumah,” katanya.

Katanya, wanita yang dipanggil dengan nama timangan 'kakak' itu juga akan ditemani ahli keluarga sekiranya mahu keluar dari rumah berikutan keadaannya yang sering muram.

“Dia berdepan masalah peribadi beberapa tahun sebelum ini berkaitan pelaburan, namun saya tidak mengetahuinya secara lebih lanjut.

“Perkara itu hanya diketahui ibu bapanya dan sedang cuba diselesaikan mereka,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, wanita itu menghantar dia dan ibunya ke kelas pengajian al-Quran sambil memberitahu mahu ke kedai dengan membawa kenderaan milik keluarganya.

Katanya, dia tidak mengesyaki sesuatu kerana sebelum ini cucunya jarang keluar memandu berseorangan dan yakin tidak pergi jauh dari rumahnya.

Menurutnya, dia dan ibu wanita itu terkejut sebaik menerima mesej daripadanya agar menghalalkan makan minumnya kerana dia ingin membunuh diri.

“Bagaimanapun, kami lega selepas dimaklumkan dia berjaya diselamatkan,” katanya.

Menurutnya, cucunya yang belum bekerja taat kepada perintah keluarganya, namun mempunyai masalah peribadi.

Katanya, pada masa sama dia meminta orang ramai agar menghentikan spekulasi dan mentularkan kejadian berkenaan bagi memberi ruang kepada ahli keluarga menyelesaikan perkara itu.

“Saya mohon agar jangan tularkan perkara yang kita tidak tahu kesahihannya. Dia perlukan ruang pada ketika ini kerana saya pasti dia berada dalam situasi yang sangat tertekan," katanya.

Dalam kejadian itu, wanita berkenaan yang terjun dari jambatan berkenaan diselamatkan anggota polis bantuan, Konstabel Zaidi Salleh, 52, yang ketika itu sedang bertugas bersama dua lagi rakannya.

Wanita terbabit kini mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Bakap, dan mungkin akan dipindakan ke Hospital Bukit Mertajam dalam masa terdekat.

Berita berkaitan

Cubaan bunuh diri: Kertas siasatan dibuka

UPDATE 'Saya terbayang anak sendiri'

Masih panjang usianya... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 6:29 PM