ZULKIFLI (kiri) mendoakan Fadi (gambar kecil) mendapat mati syahid. FOTO arkib NSTP


MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berdoa Dr Fadi M R Albatsh, 35, yang mati ditembak ketika berjalan ke surau awal pagi tadi, mendapat mati syahid.

Beliau berkata, kematian imam dari Palestin itu cukup mulia kerana ia berlaku ketika arwah sedang menuju ke rumah Allah SWT.

“Arwah yang pernah bertemu kami ini adalah seorang hafiz al-Quran, lunak bacaannya dan istiqamah pada agamanya. Matinya cukup mulia dalam menuju rumah Allah, membelah kegelapan malam.

“Matinya pula kami harapkan dan berdoa supaya mendapat syahadah (mati syahid). Ini kerana mempertahankan agamanya dan juga maruah dirinya,” katanya dalam kenyataan disiarkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi tadi, mangsa yang juga seorang pensyarah sebuah universiti swasta di ibu negara ditembak mati ketika berjalan ke surau di luar sebuah kondominium di Jalan Gombak, Setapak, untuk menunaikan solat Subuh.

Beliau pernah mendapat anugerah dalam bidang akademiknya dan menghasilkan banyak kajian ilmiah di peringkat antarabangsa. Pada masa sama, beliau menjadi imam di masjid sekitar ibu kota khususnya pada Ramadan.

Sehubungan itu, Dr Zulkifli berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menyelesaikan kes berkenaan secepat mungkin supaya mereka yang melakukannya dibawa ke muka pengadilan.

“Kami mengucapkan takziah kepada isteri dan anak-anaknya, selain berharap peristiwa seperti ini tidak berlaku lagi di negara ini,” katanya.

Berita berkaitan

Ejen negara asing disyaki bunuh Fadi

‘Arwah biasa jadi imam’

Penembak tunggu 20 minit

Imam Palestin ditembak mati

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 7:29 PM