Rozita tak hairan jika Zaihani ajak pereka lain boikotnya. FOTO MAHZIR MAT ISA
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON popular, Rozita Che Wan tidak kisah jika pengkritik fesyen, Zaihani Mohd Zain yang tular baru-baru ini mengajak pereka fesyen lain memboikot tidak menaja bajunya.

Rozita atau mesra disapa Che Ta, 45, berkata sedemikian bagi mengulas tindakan Zaihani membalas komen pengikut di laman instagram miliknya seperti yang tersebar sejak kelmarin.

Menurut Rozita, selama ini dia lebih selesa menggayakan koleksi sendiri tanpa mengharapkan tajaan daripada mana-mana pihak.

"Boleh kira tak sampai sebelah tangan pun nama pereka yang saya selalu pakai. Persoalan sekarang, adakah pereka nak dengar cakap dia? Sudah tentu kalau saya yang pakai baju mereka lebih meletup.

"Kalau dia ajak pereka untuk boikot saya, saya tidak hairan. Lagi pun saya ada banyak koleksi sendiri. Kalau Jakel adalah gudang kain, rumah saya pula adik kepada gudang. Jadi, ada saya kisah?" katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Rozita juga menyatakan artis yang menggayakan baju pereka turut membantu memperkenalkan hasil rekaan mereka.

"Tidak dinafikan, saya banyak membantu pereka untuk memperkenalkan nama mereka terutama dalam kalangan pereka baru.

"Dengan tindakannya itu, adakah pereka nak dengar cakap dia atau masih nak buat baju saya? Lagi satu, adakah dia membantu meningkatkan nama seseorang pereka?" katanya.

Menerusi paparan skrin yang tular, Zaihani meminta rakan-rakannya tidak membenarkan pengurus Rozita daripada membuat pinjaman baju untuk artis di bawah sebuah syarikat pengurusan artis.

"Yang memulakan itu adalah pengurus artis. To be precise, manager Che Ta. Please ban him if he ever comes to you or any stylists nak pinjam baju untuk artis LOL," tulis Zaihani kepada salah seorang pengikutnya.

Menyedari perkara itu, Rozita lantas memuat naik paparan skrin berkenaan di laman Instagram miliknya.

"Kata dah mohon maaf, ka mohon propa? Ish ingat mulut ja jahat, rupanya hati perut pun busuk, luar dalam sama busuk, kedut macam lace beropol," tulisnya.

Terdahulu, kenyataan Zaihani di laman sosial peribadinya telah menimbulkan kemarahan netizen apabila dia mengkritik individu berbadan besar.

"Kalau berat badan melebihi 60 kilogram, tak payahlah datang sebabnya paha awak tu melimpah kat kerusi sebelah kiri dan kanan awak,”€ tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 9:33 PM