PENGUNJUNG pusat hiburan berkenaan terkedu selepas premis diserbu dalam Op BAH, semalam. FOTO Aizuddin Saad
Kalbana Perimbanayagam

Kuala Lumpur: Pusat hiburan terbesar di ibu negara di Jalan Tun Razak di sini, yang dikatakan meraih pendapatan RM13 juta setiap bulan hilang ‘kebal’ apabila diserbu pihak berkuasa buat kali pertama sejak beroperasi beberapa tahun lalu.

Premis berkenaan diserbu anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi menerusi Operasi Banteras Aktiviti Haram (Op BAH) Siri 44 kira-kira jam 1 pagi, semalam.

Penyelaras Op BAH Azman Mahmood berkata, antara kesalahan dilakukan pusat hiburan itu adalah pendaftaran lesen tidak sepadan dengan jenis perniagaan yang dijalankan.

“Selain itu, premis berkenaan didapati gagal mempamerkan nama dan nombor pendaftaran syarikat pada resit yang dikeluarkan kepada pelanggan.

“Pemeriksaan terhadap 75 pelanggan di premis mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu.


PEGAWAI Jabatan Imigresen Malaysia memeriksa dokumen pengunjung pusat hiburan berkenaan. FOTO Aizuddin Saad

Azman berkata, tiada kelab hiburan yang dibuka di pusat bandar ini ‘kebal’ daripada tindakan undang-undang jika didapati melakukan kesalahan.

“Di seluruh pusat bandar ini dianggarkan kira-kira 1,800 pusat hiburan yang sering dalam pemantauan pihak berkuasa.

“Salah tetap salah, tindakan tetap akan diambil. Istilah kebal memang tidak ada,” katanya yang mengetuai operasi disertai 405 pegawai dan anggota penguat kuasa daripada 28 agensi serta 19 badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, 10 individu termasuk dua wanita diperintahkan hadir ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk siasatan kesalahan minum minuman keras mengikut Seksyen 43 dan 50 Akta 559 Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.

“Sebanyak 30 botol arak pelbagai jenama dijual premis terbabit turut disita mengikut Seksyen 54(1) Akta Eksais 1976,” katanya.


PENGUAT kuasa JAWI melakukan pemeriksaan alkohol kepada pengunjung pusat hiburan beragama Islam. FOTO Aizuddin Saad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 7:15 AM