Nita bersyukur mendapat suami yang mampu membimbingnya. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Nita selamat diijabkabul dengan Mohd Fareez. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Rudy Imran Shamsudin


TEPAT jam 11.45 pagi dan dengan sekali lafaz, penyanyi dan juga bekas naib juara program realiti Malaysian Idol 2005, Norhanita Hamzah atau Nita, 38, sah menjadi isteri kepada jejaka pilihan hati, Mohd Fareez Shamsul Bahari, 30.


Nita bersyukur mendapat suami yang mampu membimbingnya. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN

Pasangan mempelai dinikahkan oleh adik pengantin perempuan, Mohd Hafiez Hazlan, disaksikan jurunikah juga Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Al Firdaus Bandar Baru Selayang, Mohd Nazri Md Nor.

Majlis dihadiri 250 tetamu terdiri daripada ahli keluarga dan teman rapat.

Sepanjang majlis berlangsung, Nita dan Fareez kelihatan tenang begitu juga sebaik akad nikah dilafazkan.

Kata Nita secara jujur, hendak diikutkan malam sebelum majlis pernikahan dijadualkan berlangsung, dia dan suami berselisih faham.

"Semakin dekat tiba hari pernikahan lagi banyak dugaan terpaksa kami lalui. Suami mengingatkan agar memperbanyakkan beristighfar dan berdoa agar majlis pernikahan kami rancang dipermudahkan.

"Suami mengingatkan saya syaitan akan sentiasa membisikkan ke telinga pasangan agar masjid yang mahu kami bina atas nama Allah ini gagal.

"Dia selalu positif dan sabar. Sebab itu juga saya berasakan dia mampu membimbing saya walaupun dia muda lapan tahun berbanding saya," katanya.

Kata Nita lagi, kerana pesanan dan nasihat diberikan Fareez membuatkan dia berasa tenang sepanjang pagi ini hari ini sehinggalah majlis pernikahan selesai.

Pada majlis pernikahan terbabit, Nita menerima tujuh dulang hadiah termasuk mas kahwin RM300 dan wang hantaran sebanyak RM10,000.

Pihak pengantin lelaki membalas sembilan dulang.

Nita dan Fareez mengikat tali pertunangan Ogos lalu selepas empat tahun mengenali hati budi masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 1:38 PM