ANUAR Zain. FOTO Supian Ahmad
Michelle Gun

Persembahan tiga penyanyi hebat dari dua negara, Anuar Zain, Bunga Citra Lestari (BCL) dan Yuka Karisma di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), kelmarin melakar kenangan manis kepada 3,000 penonton yang hadir.

Masing-masing mempunyai aura tersendiri di atas pentas dan menghiburkan penonton dengan 24 lagu.

BCL membuka tirai konsert dengan menyampaikan lagu Ingkar dan 10 lagi lagu. Kehadiran penari yang mengiringi persembahan penyanyi jelita itu memeriahkan lagi suasana.

Antara lagu dipersembahkan BCL adalah Karena Ku Cinta Kau, Cinta Sejati, Jera dan Jangan Gila.

Yuka pula menyampaikan lima lagu iaitu Baby Santai, Mati Rasa, Ku Bersedia dan Pulang.

Bekas peserta Indonesian Idol musim kelima itu menerima sorakan gemuruh penonton apabila mampu menyampaikan lagu Jampi nyanyian asal Hael Husaini dengan cara tersendiri.

Yuka dan BCL turut menunjukkan kehebatan vokal dengan masing-masing mengalunkan lagu Warna serta Lagenda dendangan asal Datuk Sheila Majid.


YUKA menyampaikan lima lagu. FOTO Supian Ahmad

Kemunculan Anuar di atas pentas disambut jeritan penonton yang tidak sabar menantikan persembahannya.

Anuar, 48, menyampaikan lima lagu popularnya iaitu Kau Bunga Cintaku, Andainya Takdir, Cinta Takkan Berakhir, Sedetik Lebih dan Lelaki Ini.

Seterusnya tiga penyanyi itu bergabung menyanyikan lagu Kaulah Segalanya nyanyian asal Ruth Sahanaya dan Belaian Jiwa (Carefree).

Tidak mampu nyanyi lagu nada tinggi

Pada sidang media selepas konsert, trio itu meluahkan rasa puas hati dan perasaan terharu terhadap sambutan penonton.

Biarpun sudah tidak mampu mempersembahkan lagu Lelaki Ini seperti dulu, Anuar akur dengan hakikat itu.

“Saya sudah tidak dapat nyanyi Lelaki Ini dengan nada tinggi kerana faktor usia.

“Jadi untuk konsert ini, saya terpaksa bawanya dengan nada rendah.

“Saya pasrah dan selesa dengan suara sekarang,” katanya.

Anuar turut menzahirkan rasa syukur kerana masih dapat membuatkan penonton terhibur menyaksikan persembahannya.

Sementara itu, BCL berkata itu konsert pertamanya di Malaysia selepas melancarkan album sulung di sini pada 2006.


BCL harap persembahan buka peluang untuk tampil dalam konsert lebih besar. FOTO Supian Ahmad

“Saya sangat teruja dan terharu sehingga mahu menangis apabila melihat sokongan penonton. Situasi itu lebih daripada apa yang saya bayangkan,” katanya.

Tambah isteri kepada pelakon Ashraf Sinclair itu, dia berharap persembahan terbabit akan membuka peluang kepadanya untuk tampil dalam konsert lebih besar pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 7:03 AM