GELAGAT lelaki disyaki menceroboh rumah enggan turun selepas dikepung penduduk. Gambar kanan, anggota bomba membantu menurunkan lelaki yang enggan turun semalam. FOTO NSTP
Syazwan Msar

Semenyih: Situasi cemas bertukar apabila seorang lelaki yang dipercayai mahu menceroboh sebuah kediaman tersekat di bumbung selepas disergah penduduk kawasan terbabit di Bandar Sunway Semenyih di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.15 pagi, keengganan lelaki berusia 36 tahun itu untuk turun menyebabkan penduduk kawasan terbabit terpaksa meminta bantuan anggota polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pengerusi Persatuan Penduduk Fasa 6 Bandar Sunway Semenyih, Ishak Mat Zin berkata, kejadian disedari seorang penduduk yang melihat lelaki terbabit cuba menceroboh rumahnya sebelum menyergah suspek.

“Berikutan terkejut, lelaki terbabit yang berseorangan terus memanjat bumbung rumah teres dua tingkat itu dan berlegar-legar untuk meloloskan diri.

“Namun, tindakan pantas penduduk yang mendengar kejadian terbabit terus mengepung kawasan perumahan itu menyebabkan lelaki berkenaan buntu untuk melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, walaupun beberapa penduduk cuba memujuk lelaki terbabit turun dan menyerah diri namun dia enggan berbuat demikian, malah terus duduk di atas bumbung rumah berkenaan.

“Polis gagal memujuk lelaki terbabit sebelum anggota JBPM tiba dan mereka menangkap suspek yang tidak berbaju itu.

“Lelaki terbabit duduk di bumbung hampir tiga jam dalam keadaan berpanas dan tidak mahu turun walaupun penduduk berjanji tidak akan mengambil tindakan dan menyerahkannya kepada polis,” katanya.

Ishak berkata, suspek kemudian diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

“Suspek bukan penduduk tempatan selain tidak pernah dilihat di kawasan sekitar Bandar Sunway Semenyih sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yussof berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, polis mendapati suspek berada di atas bumbung sebuah rumah sebelum meminta bantuan bomba untuk menurunkan lelaki berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek mempunyai empat rekod kesalahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Dadah 1983, Seksyen 13(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, suspek ditahan mengikut Seksyen 457/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan pecah rumah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun selain dikenakan didenda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 8:03 AM