NUR Eliya Daruisha menghidap masalah kegagalan jantung kongenital kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Neonatal di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Gambar kecil, Ermal Ermiral Azhar. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Naluri ibu yang tidak sanggup membiarkan bayinya berusia 27 hari menanggung penderitaan akibat masalah jantung seorang diri membuatkan wanita terbabit yang sedang berpantang, Ermal Ermiral Azhar, 29, berulang-alik ke hospital setiap hari.

Biarpun keadaannya masih lemah selepas melahirkan bayinya pada 3 April lalu, wanita itu tetap menguatkan semangat berulang dari kediaman ibunya di Perumahan Awam Seri Johor ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, di sini.

Suaminya, Muhammad Yusman Ab Rahman, 29, berkata, sejak dilahirkan, dunia anak bongsunya, Nur Eliya Daruisha hanya dalam Unit Rawatan Rapi Neonatal hospital berkenaan kerana bergantung hidup sepenuhnya dengan mesin bantuan pernafasan.

“Bayi kami seberat 1.94 kilogram dilahirkan cukup bulan, namun dia mengalami masalah jantung berlubang dan saluran pernafasan sempit yang menyebabkan tumbesarannya tidak normal seperti bayi lain dan memerlukan mesin pernafasan untuk meneruskan hidup.

“Sejak lahir, badan bayi kami berselirat dengan wayar dan hanya minum susu badan isteri yang dimasukkan menerusi saluran daripada mulut ke perutnya,” katanya.

Menurutnya, pakar di hospital berkenaan menyarankan bayi mereka menjalani pembedahan segera bagi menyelamatkan nyawanya namun perlu menanti hingga beratnya mencecah 2.5 kilogram.

“Sebenarnya peluang anak kami tipis, namun jalan terbaik dengan melakukan pembedahan seberapa segera untuk menutup lubang jantung dan membesarkan saluran pernafasan sebaik beratnya mencukupi,” katanya.

Muhammad Yusman berkata, mereka kini buntu dan berusaha mencari dana untuk membiayai anggaran kos pembedahan RM150,000.

“Pendapatan saya RM1,350 sebulan sebagai mekanik bengkel membaiki kenderaan hanya cukup untuk menyara kami empat beranak saja.

“Kami sudah berikhtiar meminta bantuan di Facebook, namun setakat hari ini hanya berjaya mengumpul RM4,600,” katanya.

Sementara itu, Ermal Ermiral berkata, sebagai ibu, besar harapannya melihat bayinya dapat hidup seperti anak orang lain.

“Saya harap rakyat Malaysia bantulah kami, tidak banyak sedikit pun memadai supaya anak kami dapat meneruskan hidupnya. Mohon doakan anak kami dapat diselamatkan,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu pasangan ini boleh berbuat demikian dengan menyumbang ke akaun Maybank 114384163269 atau BSN 1400341000030814 atas nama Ermal Ermiral.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 8:10 AM