AHLI keluarga mangsa kemalangan maut di Senai menunggu proses bedah siasat di bilik mayat Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai, hari ini. FOTO Mohd Sabran Md Sani
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


HASRAT suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga 11 hari lalu berkonvoi untuk menikmati makanan kegemaran bertukar tragedi apabila lelaki itu maut bersama dua rakannya di Kilometer 29.9 Lebuhraya Linkedua, Senai, hari ini.

Dalam kejadian pada 12 tengah hari itu, mangsa Muhammad Safuan Sazali, 23, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan Honda Civic disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu kereta iaitu Muhammad Assel Habel Akbar, 21, yang tercampak keluar dari kenderaan turut meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu Perodua Bezza Mohamad Ridzuan Mohamad, 24, yang mengekori kereta terbabit juga disahkan meninggal dunia.

Manakala, isteri Muhammad Safuan, Nur Syahirah Mohamad Farid, 21, bersama dua lagi penumpang, Nur Zaffira Zulkhairi, 25, dan Muhammad Hamirul Ikmal Ishmuddin, 24, dilaporkan cedera dan dirawat di Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai.

Semua mangsa dikatakan berkonvoi dengan dua kenderaan dari rumah mereka di Kota Tinggi untuk ke sebuah restoran di Ayer Hitam.

Ibu Muhammad Safuan, Rohani Abdullah, 47, berkata dia tidak menyangka perangai pelik anak kedua daripada empat beradik itu yang sering tidur di biliknya sambil memeluk bantalnya menjadi petanda pemergiannya.

“Dia bukan jenis manja, tetapi perangainya pelik sejak akhir-akhir ini apabila sering tidur di bilik saya dan memeluk bantal serta bantal golek yang sering saya gunakan,” katanya.

Katanya, dia menyedari perangai pelik anaknya sejak mendirikan rumah tangga sejak 11 hari lalu.

“Dalam keluarga dia memang seorang pendiam, dan sangat pendiam sejak mendirikan rumah tangga.

“Paling ketara apabila dia kerap termenung dan banyak memakai baju hitam dan putih sejak kebelakangan ini," katanya di temui di bilik mayat hospital terbabit.

Suri rumah itu berkata, dia juga sering bertanya kepada anaknya yang kerap tidur di katilnya di rumahnya di Taman Sejahtera, Kota Tinggi.

Katanya, arwah adalah peniaga sate di pasar malam, dan tinggal di rumah mentuanya di kawasan perumahan sama.

“Saya sering tanya mengapa angah tidur bilik mak? Dia sebaliknya diam saja, selain sering meluangkan masa bersama adik-beradiknya sejak akhir-akhir ini. Dia anak saya dan saya memang nampak perubahan ketara ditunjukkan arwah anak itu,” katanya.

Katanya, dia hanya mengetahui anaknya berkonvoi dengan isteri rakannya selepas anak bongsunya, Muhd Shahrizal, 19, memaklumkan arwah maut dalam kemalangan itu.

Berita berkaitan

3 maut, 3 cedera, 2 kereta terbabas

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 7:05 PM