PENGUSAHA kendera saji di Festival Makanan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFF) 2018 yang menerima pengiktirafan Guinness World Records. FOTO ihsan ihsan TLM Event
PENGUSAHA kendera saji di Festival Makanan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFF) 2018 yang menerima pengiktirafan Guinness World Records. FOTO ihsan ihsan TLM Event
Mahaizura Abd Malik


SERAMAI 158 pengusaha kendera saji tempatan mengharumkan nama negara selepas mendapat pengiktirafan daripada Guinness World Records bagi penganjuran perhimpunan terbesar kendera saji di dunia.

Rekod dunia itu dicipta ketika kumpulan pengusaha yang menawarkan pelbagai jenis makanan tempatan dan Barat terbaik di Malaysia itu menyertai Festival Makanan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFF) 2018 di pusat beli-belah Design Village, Batu Kawan, Pulau Pinang, 28 April lalu.

Sijil pengiktirafan disampaikan Penilai Guinness World Records, Peter James Fairbairn kepada Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism, Ooi Chok Yan.

Wakil pengusaha trak makanan, Khairul Izwan Mokhtar Md Arrif, 31, berkata, pengiktirafan itu mengatasi rekod dicipta di Jepun pada 2016 dalam kategori sama dengan menghimpunkan 123 peserta saja.

“Kami dinilai dua juri dari Australia dan Jepun. Mereka meneliti pelbagai aspek seperti variasi menu makanan dan minuman, penyediaan hidangan mesti dilakukan di dalam trak serta waktu berniaga mestilah sekurang-kurangnya empat jam tanpa henti.

“Selain itu, aspek kebersihan, spesifikasi trak dan laporan jualan juga diambil kira dalam pemarkahan,” katanya.

Menurutnya, persiapan menghimpunkan semua pengusaha terbabit dilakukan sebulan lebih awal menerusi hebahan di aplikasi WhatsApp.

“Semua pengusaha bergerak dari negeri masing-masing dan berhimpun serentak di Batu Kawan sebelum jam 7 pagi pada hari festival itu berlangsung.

“Sebenarnya kita berjaya menghimpunkan 200 pengusaha trak makanan, namun hanya 158 saja yang layak dan menepati piawaian antarabangsa yang ditetapkan,” katanya.

Katanya, pengiktirafan berkenaan bukan saja membuktikan kualiti perkhidmatan pengusaha trak makanan tempatan bertaraf antarabangsa, malah menaikkan lagi imej industri itu.

“Diharap dengan pengiktirafan ini kita boleh pergi lebih jauh dan mendapat sokongan semua pihak untuk terus berkembang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 10:30 PM