EFFENDI Jagan Abdullah. FOTO Osman Adnan
Zulfaizan Mansor

Kuala Lumpur: Semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) perlu bersedia menghadapi risiko besar sekiranya berhasrat menukar pemain import pada jendela perpindahan kedua bermula Isnin ini hingga 3 Jun depan.

Ejen pemain, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan antara risiko terpaksa dihadapi pasukan adalah mengenai persembahan muka baru yang ditandatangani sama ada lebih baik berbanding pemain lama.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd berkata, selain itu, pasukan juga perlu berdepan dengan kos besar untuk menggugurkan pemain lama jika mahu mengikat pemain baru.

“Jendela perpindahan kedua ini amat penting kerana pasukan terbabit tidak boleh buat silap kerana pemain yang ditandatangani itu tidak boleh ditukar lagi hingga tamat musim.

“Malah, pemain baru itu akan masuk ketika liga berjalan, bukan macam jendela pertama dengan pasukan boleh menguji terlebih dulu pemain yang mereka ingin tandatangani menerusi aksi ujian.

“Pemain baru tidak mempunyai banyak masa dan mereka perlu segera sesuaikan diri dengan pasukan dan liga. Jadi, kalau buat kesilapan dalam memilih pemain, boleh jadi pemain yang baru diambil itu lebih teruk daripada yang digugurkan.

“Apa yang penting, setiap pasukan kena buat kerja rumah termasuk mengkaji kos yang perlu ditanggung dan kemampuan sebenar pemain yang ingin ditandatangani,” katanya kepada Sukan NSTP, semalam.

Sukan NSTP sebelum ini melaporkan bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menyarankan semua pasukan menilai kemampuan kewangan mereka dan tidak terlalu kemaruk untuk menukar pemain import pada jendela perpindahan kedua.

Mengulas lanjut, Effendi berkata, kebiasaannya pasukan perlu membayar pampasan tiga bulan gaji kepada pemain yang mereka ingin gugurkan, dengan syarat penamatan kontrak dilakukan atas persetujuan kedua-dua pihak.

Jelas Effendi, jumlah pampasan lebih besar mungkin terpaksa ditawarkan sekiranya pemain tidak bersetuju untuk menamatkan kontrak mereka.

“Kadang-kadang ada pemain yang akan terima pampasan tiga bulan gaji dan ada juga yang menolak. Jika pemain menolak, pasukan perlu bincang balik dan mungkin perlu menawarkan pampasan empat bulan gaji atau lebih.

“Tapi ada juga pemain yang berkeras mahukan gaji penuh untuk baki kontrak mereka, jadi kalau pasukan tetap nak gugurkan pemain itu, mereka terpaksa bayar.

“Ia kerana, jika kes itu dibawa ke FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa), pemain tetap akan menang kerana alasan digugurkan akibat masalah prestasi tidak boleh dipakai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 3:59 AM