ALLISON Mack. Gambar kecil, premis tempat uji kaji dilakukan. FOTO EPA-EFE
Daily Mail

New York: Doktor dalam kumpulan kultus seks Nxivm didakwa melakukan eksperimen haram terhadap orang yang antara lain memaksa wanita menonton video adegan rogol serta mengerat mayat untuk mengkaji tahap ketakutan mereka.

Brandon Porter, 44, menjadi doktor di kultus berkenaan - dikatakan turut diterajui pelakon siri televisyen Smallville, Allison Mack, 35 - yang didakwa mempengaruhi dan mengugut pengikut wanitanya untuk menjadi hamba seks, lapor New York Post.

Dia didakwa atas kesalahan melakukan eksperimen haram untuk memantau gelombang otak mereka yang menyertai program Nxivm.

Antara video ditayangkan ialah mengenai pembunuhan empat wanita, seorang lelaki Afrika Amerika dipijak pengikut Nazi dan seorang lelaki dipaksa memakan bahan otaknya sendiri.

Dia turut dituduh melakukan kajian yang tidak sepatutnya terhadap kecelaruan obsesif kompulsif dan sindrom Tourette’s selain gagal melaporkan wabak penyakit yang tercetus ketika acara Nxivm pada 2016.

Perkara itu didedahkan selepas bekas pelakon Kanada, Jennifer Kobelt membuat laporan kepada pihak berkuasa New York mengenai eksperimen dilakukan Porter yang mengakibatkannya trauma.

“Tanpa amaran dia memaksa saya melihat bahan berkenaan dan merakam reaksi saya selama 10 minit sedangkan ketika itu saya menangis dan ingin muntah.

“Dia mengecewakan saya, bukan hanya sebagai rakan tetapi pengamal perubatan,” katanya.

New York Post melaporkan, Pejabat Perubatan Profesional New York (OMPC) berkata, Porter tidak layak dari segi moral selain bersalah kerana kecuaian dan ketidakcekapan serius, lapor the Post.

Ketua kultus, Keith Raniere, 57, kini dalam tahanan selepas ditangkap di Mexico pada Mac lalu atas pelbagai tuduhan yang turut termasuk pemerdagangan seks.

Allison ditahan sebulan kemudian dan kini dalam perintah penahanan di rumah ibu bapanya selepas didakwa merekrut wanita untuk operasi pemerdagangan seks.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 8:50 AM