MUHAMMAD Nadir Al-Nuri membantu penduduk Palestin melalui PCGM sejak 2013. FOTO NSTP/IRM
Mohd Firdaus Ibrahim

Kuala Lumpur: Sejak lima tahun lalu, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman, 31, yang juga satu-satunya rakyat Malaysia di Palestin sudah melakukan pelbagai usaha untuk membantu masyarakat negara terbabit yang terkesan akibat ditindas tentera Israel.

Menurutnya, dia menjalankan kutipan dan agihan sumbangan kepada kanak-kanak, mangsa perang, ibu tunggal dan warga emas di Gaza melalui Persatuan Cinta Gaza Malaysia (PCGM) sejak 2013.

“Sumbangan penderma terutama dari rakyat Malaysia bersifat bermusim mungkin disebabkan krisis perang yang lama di bumi Palestin.

“Ketika berlaku perang, sumbangan melimpah ruah, tetapi sebaliknya ketika tiada peperangan.

“Benar banyak badan bukan kerajaan memainkan peranan membantu rakyat Palestin dengan projek besar seperti bina masjid, sekolah dan asrama tetapi bagaimana pula nasib mereka yang tidak mempunyai makanan di rumah.

“Jadi, saya melalui PCGM menggerakkan bantuan sedemikian bagi membantu rakyat Palestin yang tiada makanan di rumah, selimut ketika musim sejuk dan khemah untuk berlindung disebabkan rumah mereka dibedil tentera Zionis,” katanya yang juga penuntut jurusan syariah di Universiti Islam Gaza.


MELIHAT keganasan tentera Zionis. FOTO NSTP

Menurutnya, tujuan sebenar dia berada di Palestin yang juga sebahagian bumi Syam itu adalah bagi membantu mereka yang susah.

“Dalam masa sama, kami di PCGM menggerakkan pelbagai program untuk menonjolkan Palestin di mata dunia supaya isu dan kekejaman Zionis Israel tidak dilupakan Muslim kerana termakan momokan media Barat yang umum ketahui laporannya berat sebelah.

“Antara projek terkini dilakukan seperti Pertandingan Uji Bakat Star Of Gaza, Pusat Kebudayaan Malaysia di Gaza, Bilik Berita Palestin dan Projek Baik Pulih Rumah,” katanya yang berasal dari Bangi, Selangor.

Nadir berkata, keadaan di Gaza bukan saja dihujani serangan rutin oleh tentera Zionis malah krisis dalaman antara Fatah dan Hamas juga berterusan.

Menurutnya, biarpun sudah lima tahun menabur bakti di bumi Palestin, dia berasakan usahanya itu masih belum cukup.


MUHAMMAD Nadir Al-Nuri memberi bantuan kepada rakyat miskin di Gaza. FOTO NSTP

“Setiap sen sumbangan rakyat Malaysia pasti akan saya sampaikan sendiri kepada rakyat Palestin tanpa berlengah.

“Memang sudah ramai kita bantu, tetapi belum cukup kerana masih ramai yang dapurnya tidak berasap, kanak-kanak tidak bersekolah dan warga emas tiada bekalan ubat-ubatan yang cukup.

“Saya harap rakyat Malaysia terus melakukan sumbangan melalui PCGM untuk meringankan beban warga Palestin,” katanya sambil memberitahu orang ramai boleh menyumbang menerusi akaun Maybank milik persatuan itu di nombor akaun 564810507826.


MUHAMMAD Nadir Al-Nuri bersama kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan tentera Zionis. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 9:09 AM