Tengku Abdullah mengurniakan watikah pelantikan Menteri Besar Pahang kepada Wan Rosdy. FOTO Muhd Asyraf Sawal
T N Alagesh dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz dan Shahrinahar Latib.

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang yang baharu di Istana Sultan Abu Bakar di Pekan, sebentar tadi.

Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands berusia 60 tahun itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang ke-14 di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Kerajaan Tempatan negeri itu menggantikan Datuk Seri Adnan Yaakob yang menjawat jawatan itu selama empat penggal.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Wan Rosdy menang dengan majoriti 3,507 undi dalam saingan empat penjuru.

Beliau menjadi ADUN Jelai sejak tahun 2004.

Barisan Nasional (BN) sebelum ini memenangi 25 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan di Pahang berbanding 35 kerusi pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 4:20 PM