Azura Abas; Irwan Shafrizan Ismail dan Suhaila Shahrul Annuar


“LET the PM (Prime Minister) makes all announcement. (Biar PM buat semua pengumuman),” kata bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Itu adalah reaksi ringkas Abu Kassim ketika ditanya berhubung hasil pertemuan lebih sejam dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, pagi ini.

Ditanya mengenai perkara dibincangkan pada pertemuan itu, beliau menjawab ringkas, “Tun tanya beberapa soalan, saya jawablah. Perkara berkaitan yang Tun rasa nak tahu.”

“Saya menyatakan saya punya pandangan mengenai perkara tertentu,” tanpa mengulas lanjut perkara yang dibincangkan.

Selain itu, beliau juga enggan mengulas lanjut berhubung desas-desus pelantikan semulanya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

"Let the PM (Prime Minister) makes all announcement. (Biar PM buat semua pengumuman)," katanya.


ABU Kassim (kanan) keluar meninggalkan Yayasan Kepimpinan Perdana selepas mengadakan pertemuan bersama Dr Mahathir. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Terdahulu, Abu Kassim dilihat memasuki Yayasan Kepimpinan Perdana pada 8.30 pagi tadi.

Isnin lalu, Tan Sri Dzulkifli Ahmad melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM melalui satu surat yang diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Perdana Menteri dalam sidang medianya semalam memaklumkan kekosongan jawatan tertinggi dalam SPRM itu akan diisi secepat mungkin dan perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhamad V.

Sebelum ini, desas-desus mengatakan dua nama besar yang pernah berkhidmat dengan SPRM iaitu Abu Kassim dan bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull disebut-sebut menjawat jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 11:34 AM