SYAMEL mahu cuba lagu rancak pula untuk single seterusnya.
SYAMEL mahu cuba lagu rancak pula untuk single seterusnya.
HM Digital

Selepas berjaya mencuri hati peminat dengan lima single, Syamel mengakui semakin selektif dalam memilih karya untuk dijadikan single seterusnya.

Menurut penyanyi berusia 25 tahun ini, ia penting untuk memastikan karya yang disajikan kepada peminat berkualiti di samping memberi kepuasan kepada dirinya.

“Sebagai anak seni, tentunya saya mahukan sesuatu yang berkualiti untuk diberikan kepada peminat. Selain mementingkan kualiti, saya juga utamakan kepuasan hati sendiri,” katanya.

Menurutnya, dia inginkan satu karya yang berbeza daripada apa yang pernah diketengahkan sebelum ini.

“Kalau boleh, saya nak karya yang kena dengan kehendak peribadi saya iaitu lagu rancak. Itu memang dekat di hati saya sebenarnya.

“Jadi, saya kini membuka ruang untuk mana-mana komposer yang boleh hasilkan lagu untuk single saya seterusnya,” katanya.

Menurutnya, dia sendiri sudah puas menyanyikan lagu berentak balada. Jadi, dia ingin mempelbagaikan senarai lagunya.

“Kalau muncul di pentas, selalunya senarai lagu saya adalah lagu berentak balada. Jadi, kalau ada satu lagu rancak, nampaklah berbeza sedikit.

“Saya pun kalau boleh tak mahu lagu yang terlalu mempertaruhkan vokal semata-mata.

“Kadang-kadang, apabila terlalu fokus kepada vokal, saya terlupa bahawa tugas dan tanggungjawab saya adalah untuk menghiburkan peminat,” katanya.

Selain itu, pelantun lagu Hidup Dalam Mati itu juga kini mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

“Saya nak cuba nasib dalam perniagaan pula. Buat masa sekarang, sudah ada beberapa rancangan yang saya siapkan.

“Kalau sudah nampak hasilnya, saya akan kongsikan mengenai projek khas itu,” katanya.

Bercerita mengenai Ramadan, Sabtu ini dia akan terbang ke Singapura dan buat pertama kalinya berpuasa jauh daripada keluarga.

“Saya saja nak merasa pengalaman berpuasa di tempat orang. Insya-Allah saya akan berada di Singapura dari 19 hingga 21 Mei.

“Untuk Ramadan, kerja seni mungkin akan diperlahankan sedikit berbanding bulan lain. Jadi, selepas selesai Ramadan semuanya akan kembali seperti biasa,” katanya. -Syafil Syazwan Jefri

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 5:28 AM