Mohd Anwar Patho Rohman; Mohd Husni Mohd Noor dan Teoh Pei Ying


BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beredar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 3.15 petang hari ini selepas lebih lima jam memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International.

Najib ketika ditemui media di lobi bangunan berkenaan berkata, beliau akan hadir semula di sini (Ibu Pejabat SPRM) pada Khamis ini untuk sambung memberi keterangan kepada SPRM.

“Sebahagian besar keterangan saya sudah selesai dan saya akan sambung semula memberi keterangan pada lusa (Khamis) ini.

“Keterangan hari ini adalah lanjutan kepada keterangan dibuat berhubung kes sama pada 2015,” katanya.

Najib berkata, keterangan hari ini lebih terperinci dengan pengesahan dokumen dan beberapa kenyataan yang lebih menyeluruh.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada pasukan yang mengambil keterangan saya kerana melakukannya dengan cara profesional.

“Kenyataan saya memakan masa antara 10 pagi hingga 2.15 petang dengan rehat selama setengah jam,” katanya.

Terdahulu, Najib tiba di Ibu Pejabat SPRM pada 9.45 pagi dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire menggunakan nombor pendaftaran QMN11.

Beliau dilihat berpakaian kemeja biru muda dan mengenakan kot berwarna biru serta berseluar hitam.

Bekas Perdana Menteri itu diiringi dua kenderaan lain termasuk dua anggota polis pengiring.

Tinjauan di lobi Ibu Pejabat SPRM mendapati lebih 100 pengamal media daripada pelbagai agensi berita tempatan dan asing mula berkumpul sejak 7 pagi bagi mengikuti perkembangan siasatan kes berkenaan.

Sementara itu, turut kelihatan kira-kira 50 penyokong Najib berkumpul di luar bangunan SPRM bagi memberi sokongan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Berita berkaitan

'Najib ceria tiba di ibu pejabat SPRM [METROTV]'

'Tunggu Najib keluar ke pejabat SPRM'

'Najib boleh kena tindakan...'

'Najib yang perlu hadir ke SPRM'

SPRM hadir di rumah Najib, Selasa ini

SPRM panggil Najib beri keterangan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 3:55 PM
NAJIB keluar dari Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya selepas lebih lima jam memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd. FOTO Abd Rahim Rahmat