Manirajan Ramasamy dan Irwan Shafrizan Ismail dan Mohd Nasarudin Parzi


PELAKSANAAN cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan pada kadar sifar peratus pada 1 Jun akan digantikan dengan cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), mulai 1 September ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, harga barang sepatutnya turun sekurang-kurangnya sebanyak enam peratus selepas kadar sifar GST dilaksanakan.

“Kita sudah buat janji dalam manifesto dan dalam jangkaan 100 hari kita akan laksanakan janji

“Masalah keadaan lebih teruk dari jangkaan kita semasa kita siapkan manifesto. Janji yang dibuat akan ditunaikan tapi ambil kira keadaan kewangan dan tidak jejaskan pentadbiran negara,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan juga bersetuju menetapkan skim kawalan harga sempena hari raya Aidilfitri.

Katanya lagi, kerajaan juga bersetuju menubuhkan Majlis Penasihat Pertanian Negara.

Turut diumumkan ialah pemindahan Program Pusat Permata Negara (Permata) yang sebelum ini di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke Kementerian Pendidikan.

Sementara itu Perdana Menteri berkata, kerajaan mengalu-alukan sikap patriotik rakyat yang membuat inisiatif memungut derma bagi disumbangkan kepada kerajaan.

“Kita akan tentukan derma ini akan sampai kepada pihak bertanggungjawab... semua derma akan diberikan kepada Kementerian Kewangan dan nombor akaun bagi penyaluran derma itu akan diumumkan sedikit masa lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 1:59 PM
DR MAHATHIR pada sidang media, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah