CATATAN Nurul Aini mengenai luahan hatinya yang dimuatnaik di Facebook, hari ini.
Izlaily Nurul Ain Hussein


“ARWAH berulang-kali cakap dia sayang saya, dan beritahu tidak akan ada orang lain selain saya."

Begitu kata Nurul Aini Syuhada Kamarul Zaman, 29, bakal isteri kepada Iskandar Shahrizal Yusuf, 29, yang maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 14 Jalan Mersing-Endau, Mersing pada 11.20 malam semalam.

Allahyarham Iskandar Shahrizal yang bekerja sendiri rentung dalam kemalangan itu selepas Perodua Myvi dipandunya terperosok di bawah bas ekspres lalu terbakar.

Menurut Nurul Aini, dia mendapat tahu kemalangan menimpa bakal suaminya itu pada 12 tengah malam.

“Kami ada berjumpa kira-kira sejam sebelum kemalangan itu. Dia hantar saya pulang ke kampung di Tanjung Gemok, Endau, kerana tidak beri saya pandu kereta sendiri.

“Arwah sepatutnya bermalam di rumah keluarga saya, tetapi katanya dia ada urusan kerja dan mahu pulang ke Kota Tinggi,” katanya yang hanya mahu dihubungi menerusi khidmat mesej di Facebook (FB) kerana tidak kuat untuk berkomunikasi menerusi panggilan telefon.

Nurul Aini berkata, mereka berdua tidak bertunang secara rasmi, tetapi bercadang untuk terus bernikah Oktober ini.

“Tiada perubahan ketara berlaku pada arwah dan dia juga tidak ada berpesan apa-apa ketika kali terkahir bertemu malam tadi.

“Cuma sejak akhir-akhir ini, arwah kerap bercerita pasal perkahwinan kami. Dia juga berulang-kali beritahu saya yang dia sayangkan saya dan tidak akan ada orang lain selain saya.

“Sudah pasti banyak yang saya akan rindukan tentang dia, terutamanya kasih sayang dan senyumannya. Saya juga akan rindu nak bergaduh dengannya,” katanya yang bekerja sebagai jururawat di Kluang.

Pagi tadi, Nurul Aini turut memuat naik status luahan kesedihan hatinya dengan pemergian Iskandar Shahrizal berserta gambar mereka berdua di laman FBnya sebelum status dan gambar itu dikongsi di beberapa kumpulan WhatsApp.

Berita berkaitan

Maut selepas bertemu keluarga bakal isteri

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 5:26 PM