BERNAMA

TIGA maut dalam kemalangan membabitkan dua lori dan sebuah bas ekspres di Kilometer 142.4 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Pagoh di Muar, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muar Marzuki Ismail berkata, mereka yang meninggal dunia adalah pemandu bas ekspres dikenal pasti sebagai Shuaib K K Mohamed Unny, 50, manakala dua lagi adalah penumpang bas yang masih belum dikenal pasti identiti mereka.

“Seorang lagi pemandu dan 25 penumpang bas ekspres itu selamat, pemandu treler dan lori tangki yang terbabit dalam kemalangan sama juga selamat.

“Setakat ini, punca kemalangan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk rawatan.

“Mangsa yang meninggal dunia diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan pada 1.08 tengah hari dan operasi menyelamat tamat pada 2.10 petang hari ini.

Katanya, seramai 13 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar serta 10 anggota bersama dua jentera dari BBP Bukit Gambir terbabit dalam operasi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 6:13 PM
LOKASI kemalangan antara bas ekspres dengan dua buah lori di Kilometer 142.5 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Pagoh, Muar, hari ini. FOTO Ihsan JBPM