KERETA Proton Iswara dinaiki Gunasekharan dan Irawati terperosok ke bawah treler yang melintangi jalan dalam kemalangan di Kilometer 22.5 Jalan Yong Peng-Kluang, Kluang, hari ini. FOTO ihsan polis
Adnan Ibrahim


DUA maut dalam kemalangan membabitkan kereta dan treler di Kilometer 22.5 Jalan Yong Peng-Kluang di Kluang, pada 1.55 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai S Gunasekharan, 49, dan wanita warganegara Indonesia, Irawati Lim, 43, yang menaiki kereta Proton Iswara dipercayai dalam perjalanan dari Yong Peng ke Kluang melalui Pekan Paloh.

Katanya, kejadian berlaku apabila treler dipandu Sobri Ibrahim, 49, dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas melintangi jalan.

“Akibat kejadian itu, Gunasekharan tidak sempat memberhentikan kereta dipandunya menyebabkan dia dan penumpang terperosok ke bawah treler.

“Kedua-dua mangsa parah di bahagian badan serta kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhamad berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing.

Beliau berkata, pemandu treler itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 9:00 PM