DARI kiri, One Chinnoz, Ezad dan Anjely.
Amirul Haswendy Ashari


Di belakang kejayaan sesebuah karya pasti ada insan kreatif yang jarang diperkatakan kerana ramai lebih pentingkan jalan cerita dan barisan pelakon yang menjadi tarikan utama.

Pelbagai persoalan hangat diperkatakan tatkala drama berjudul Nur bersiaran di slot Samarinda TV3 sejak awal Ramadan sehingga insan yang terbabit turut terpalit pelbagai kontroversi.

Ini terutama bagaimana karya yang berat dan unik ini boleh dilaksanakan saat lambakan drama bergenre romantik adaptasi novel lebih menguasai pasaran televisyen tempatan?

Penerbit, pengarah dan juga penulis skrip drama Nur, Shahrulezad Mohameddin berkata tidak pernah terlintas di fikirannya drama Nur akan jadi tersohor dan diperkatakan peminat drama tempatan.

“Sejujurnya, kami tak sangka Nur dapat sambutan begini hebat, malah di media sosial (Twitter) setiap hari. Tetapi, adakah ia mewakili keseluruhan ‘rating’ untuk drama ini?

“Kami tidak tahu mengapa pihak stesen TV belum mendedahkan jumlah ‘rating’ terkini,” katanya mesra disapa Ezad.

Bagaimanapun, TV3 akhirnya mendedahkan drama itu berjaya mencatat lebih sembilan juta tontonan sepanjang Ramadan ini.

Namun begitu, Ezad akui tergamam dengan sambutan di media sosial dan pada masa sama tertanya-tanya adakah secara realitinya penonton lain menonton drama Nur atau tidak kerana kandungannya dianggap berat?

“Kami sudah buat yang terbaik dan sangat gembira dengan komitmen pelakon serta kru.

“Pada awalnya saya tidak berapa yakin sama ada TV3 terima jalan cerita ini atau tidak sebab kandungannya berat.

“Namun, mereka beri maklum balas positif dan sebagai penulis saya termenung seketika apabila TV3 meletak syarat saya kena tulis skrip dan hasilkannya,” kata Ezad.

Penerbit di Radius One ini akui kali terakhir dia berkarya melalui drama Syurgamu Ramadan yang turut mendapat sambutan hangat ketika ditayangkan di slot sama pada 2010.

Katanya, selepas itu dia mula ketandusan idea dan memberikan peluang berkarya kepada pengkarya baru yang diterbitkan syarikatnya.

Tanpa berselindung, dia percaya sudah menyentuh semua isu melalui drama yang disiarkan pada Ramadan lalu.

Walaupun slot Samarinda pada Ramadan sering berpihak kepada syarikatnya, dia sebenarnya tidak kisah jika tidak dapat peluang itu tahun ini kerana percaya sudah tiada idea.

“Saya sebenarnya takut apabila diberi peluang ini sekali lagi sebab perkara perlu dijaga tatkala menghasilkan drama seperti ini adalah niat kita, sama ada untuk buatkan orang tertarik, berdakwah atau mahu bersaing dengan drama lain?

“Saya selalu kongsi dengan One Chinnoz (pengurus produksi), saya kena jaga niat menghasilkan karya ini sebab takut terpesong,” katanya mula rasa kurang beban sebaik sahaja ambil pendekatan mahu bercerita sahaja.

KARYA BERTARAF ANTARABANGSA

Ezad berkali-kali menegaskan kejayaan drama ini kerana adanya barisan kru yang hebat, terutama pengarah fotografi (DOP), Azeli Muhammad atau mesra di sapa sebagai Anjely.

Katanya, Anjely berjaya memberi satu pandangan seolah-olah sebuah karya bertaraf antarabangsa.

Anjely pula berkata, dia senang bekerja dengan Ezad sebab sudah lama berkawan baik, tetapi masa sama menghormatinya sebagai pengarah.

“Kalau orang luar tengok kami seolah-olah bergaduh, tetapi Ezad terbuka menerima idea yang boleh digunakan di dalam Nur. Tugas saya hanya sokong apa yang dia mahu sampaikan,” katanya Anjely yang juga Pengarah Terbaik ASK 2014 melalui telefilem Matahari Terbit Lagi.

Sementara itu, Irwan Abdul Ghani atau mesra disapa One Chinnoz menegaskan penonton masa kini semakin bijak dan faham aspek teknikal serta naratif yang lebih ‘berilmu’.

Katanya, penonton sudah bijak beri maklum balas di sudut kerja kamera, pengredan warna dan sebagainya.

“Disebabkan itu, pihak stesen TV tidak boleh memandang rendah penonton sebab mereka bijak menilai,” katanya.

Drama Nur yang bersiaran selama 19 episod akan berakhir minggu depan turut mendapat maklum balas positif penonton bukan Islam serta golongan profesional.

Bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam, drama ini menampilkan pelakon antaranya Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Azhan Rani, Nurkhiriah dan Raja Atiq.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 6:00 AM