TUAN Faris Danial menunjukkan ubat-ubatan yang perlu diambil setiap hari akibat menderita masalah buah pinggang tahap empat. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


KETIKA insan lain bebas menjalani aktiviti harian mereka, seorang pelajar lelaki terpaksa ‘mengorbankan’ zaman remajanya akibat berdepan masalah buah pinggang tahap empat.

Ini berikutan Tuan Faris Danial Tuan Ruzaini, 13, perlu melakukan rawatan buah pinggang secara manual iaitu Dialisis Peritoneum Ambulatori Berterusan (CAPD) sebanyak empat kali sehari termasuk ketika berada di sekolah.

Bapa remaja itu Tuan Ruzaini Tuan Badurudin, 42, berkata pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar di Sungai Petani itu mula berdepan masalah berkenaan ketika berusia 10 tahun apabila sering kelihatan lemah selain hilang selera makan.

“Saya mendapati dia dalam keadaan sangat pucat dan tidak bermaya lalu dibawa ke hospital sebelum disahkan mengalami masalah buah pinggang kronik yang dipercayai berpunca daripada faktor genetik.

“Penyakit itu dikesan melalui imbasan ultrasound apabila doktor mendapati terdapat ‘cyst’ (ketumbuhan) di keliling kedua-dua buah pinggangnya,” katanya ketika ditemui di Kuarters Pendidikan Guru SMK Ibrahim di Sungai Petani, hari ini.

Tuan Ruzaini berkata, anaknya itu perlu bergantung dengan kaedah CAPD sepanjang hayat melainkan terdapat penyumbang yang sudi menderma buah pinggang kepada pelajar berkenaan.

“Saya difahamkan anak memerlukan sebelah sahaja buah pinggang yang sihat untuk kembali menjalani hidup normal seperti orang lain.

“Kalau tidak, dia terpaksa bergantung dengan kaedah ini seumur hidupnya,” katanya.

Katanya, dia dan isteri, Ruhaida Abd Kadir, 34, pernah menjalani pemeriksaan bagi melakukan pemindahan buah pinggang buat anak lelaki mereka, namun kedua-keduanya tidak bersesuaian.


RUHAIDA (kanan) membantu Tuan Faris Danial melakukan Dialisis Peritoneum Ambulatori Berterusan (CAPD) yang dilakukan empat kali setiap hari. FOTO Nor Farhani Che Ad

Sementara itu, Ruhaida yang juga kerani sekolah berkata, mereka juga berdepan masalah kewangan kerana memiliki enam lagi anak berusia lima sehingga 14 tahun walaupun suaminya bertugas sebagai guru.

“Saya dan suami perlu memperuntukkan kira-kira RM3,000 sebulan bagi kos perubatan Tuan Faris Danial dan keperluan lain seperti lampin pakai buang, plaster perut, set 'dressing', dan juga susu khas bagi pesakit buah pinggang.

“Anak kami juga perlu menjalani rawatan susulan bagi masalah lain iaitu jantung dan juga darah tinggi akibat kesan kerosakan buah pinggang yang dialaminya,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati dengan pelajar itu boleh menghulurkan sumbangan dengan menghubungi Ruhaida di talian 011-31408969 atau 017-5664221.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 8:40 PM