SITI Nurhaliza. FOTO Nizar Hafiz Mustafa
Sudirman Mohd Tahir

Tahun ke-12 berkahwin, sambutan Aidilfitri tahun ini cukup istimewa buat Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa apabila menyambut lebaran dengan permata hati mereka, Siti Aafiyah yang kini berusia tiga bulan.

Kehadiran Siti Aafiyah yang dilahirkan pada 19 Mac lalu menjadi pelengkap perkahwinan Siti dan suami selepas 11 tahun menantikan cahaya mata sendiri.

Dalam erti kata lain, ini adalah anugerah Aidilfitri terindah buat Siti.

Jika sebelum ini, sambutan 1 Syawal diraikan bersama anak tiri dan keluarga, tahun ini Siti begitu teruja kerana dapat menyediakan sendiri persiapan raya untuk anaknya.

Malah, Siti juga tidak sabar untuk membawa Aafiyah berziarah dan berkunjung ke rumah sanak saudara pada Aidilfitri ini.

“Ini pengalaman pertama saya beraya sebagai ibu. Saya bersyukur kerana dapat juga merasai pengalaman indah ini selepas menanti sekian lama. Seperti yang selalu saya doa dan idamkan, Allah makbulkan jua.

“Sekarang, segala persiapan saya fikirkan untuk anak dulu terutama dari segi pakaian yang bakal digayakan. Saya ada juga tempah dalam empat pasang pakaian daripada pereka. Selebihnya saya pakaikan baju kasual daripada pemberian peminat.

“Lagi satu, kalau sebelum ini saya berikan duit raya untuk anak saudara dan kanak-kanak lain, tahun ini giliran saya pula terima duit raya bagi pihak Aafiyah. Pastinya juga, saya tidak sabar nak bawa dia pergi beraya,” katanya.

Dalam pada ingin merasai kemeriahan Syawal itu, Siti masih perlu berhati-hati kerana tidak mahu terlalu mendedahkan anaknya yang masih kecil dengan persekitaran dan bersentuhan dengan orang sekeliling.

“Sebelum ini saya ada baca mengenai luahan pelakon, Amar Baharin mengenai kesihatan anak kecil yang sensitif dengan persekitaran terutama apabila bersentuhan dengan orang ramai. Saya bersetuju apa yang diperkatakan.

“Bukan nak sombong, tetapi kesihatan dan kebersihan anak sangat penting. Dalam usia sekarang antibodi anak sangat lemah. Keberangkalian mereka terkena penyakit mudah. Saya juga percaya, orang faham keadaan ini terutama mereka yang ada anak kecil.

“Jika saya tak benarkan ambil gambar atau sentuh anak, saya berharap jangan ada pihak berkecil hati. Saya juga akan cakap baik-baik,” katanya.


SITI Nurhaliza. FOTO Nizar Hafiz Mustafa

Beraya di Kuala Lumpur

Seperti kebiasaan, tahun ini Siti dan suami beraya di Kuala Lumpur sebelum merancang untuk pulang ke Kedah atau Pahang.

“Kalau tanya soal balik kampung, sejujurnya belum ada sebarang perancangan. Cuma, seperti kebiasaan, raya pertama di Kuala Lumpur dahulu. Tambahan pula, ibu mentua tinggal bersama kami dan ibu saya lebih kerap di sini. Jadi, tidak perlu pening kepala nak balik kampung siapa dulu.

“Insya-Allah, selepas itu baru tentukan nak balik Kedah atau Kuala Lipis. Kalau pulang ke kampung suami, amalan menziarahi sanak saudara dan orang kampung masih diamalkan. Suami selalu cakap, Aidilfitri adalah masa untuk saling berziarah dan bukan pergi bercuti. Lagipun, ini masa untuk mengeratkan lagi silaturahim,” katanya.

Berkongsi makna 1 Syawal buat dirinya, Siti berkata, ia adalah hari kemenangan selepas berperang dengan nafsu, lapar dan dahaga.

Pada masa sama, hari kemenangan ini boleh dikaitkan dengan suasana negara ketika ini yang mana rakyat menikmati keamanan dan keharmonian.

“Untuk diri sendiri, Syawal adalah kemenangan diri sendiri selepas berjaya melawan emosi daripada semua perkara. Jadi, kalau ia boleh dikawal, bermakna itu kejayaan buat diri sendiri.

“Bukan itu saja, dapat menangani segala komen dan kritikan netizen di laman sosial pun, itu satu kejayaan juga. Apatah lagi dibuktikan dengan hasil kerja dan kehidupan peribadi yang lebih baik.

“Dalam suasana negara sekarang, rakyat Malaysia bertuah kerana dikurniakan keamanan dan keharmonian. Dari situ, kita dapat banyak manfaat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 8:28 AM