KUARTET 4X100M negara bakal sertai pertandingan berkualiti di negara Eropah sebagai persiapan menghadapi cabaran Sukan Asia Indonesia 2018. FOTO Luqman Hakim Zubir
Haika Khazi
mfaizul@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kembali menyatakan hasrat untuk menghantar kuartet 4x100 meter (m) ke Eropah bagi memastikan mereka layak secara merit untuk bertanding dalam kategori A di Sukan Asia Indonesia, 2018.

Presidennya, Datuk Karim Ibrahim berkata, latihan intensif dan pertandingan berprestasi tinggi penting bagi memastikan kuartet 4x100m lelaki negara mampu melepasi kelayakan minimum iaitu berada di ranking empat terbaik Asia.

Sebelum ini, KOM melahirkan hasrat untuk membawa jurulatih pecut dari Amerika Syarikat, Dwayne I. Miller bagi melatih atlet olahraga Malaysia berikutan terpaksa membatalkan hasrat untuk latihan di Eropah kerana kosnya terlalu tinggi.

“Kita sudah serahkan beberapa cadangan kepada Majlis Sukan Negara (MSN), sama ada mengadakan latihan di dalam negara atau di luar negara dengan mengambil kira beberapa faktor supaya atlet dapat mempamerkan prestasi terbaik di Sukan Asia nanti.

“Atlet kita boleh berlatih di mana-mana, tapi pertandingan lebih penting kerana tidak akan mampu melepasi had kelayakan minimum ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tanpa penyertaan di kejohanan berkualiti tinggi seperti di Eropah,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas, yakin kuartet 4x100m Malaysia mampu layak secara merit ke Sukan Asia jika berjaya mengikuti semua program latihan dan pertandingan berkualiti dirancang KOM, dalam tempoh dua bulan akan datang.

Zainal mengesahkan KOM akan menghantar kuartet 4x100m untuk berlatih dan menyertai pertandingan berkualiti di Eropah termasuk beberapa siri pertandingan di Jerman, sebelum kembali ke tanah air untuk persiapan akhir Julai nanti.

“Sekiranya mereka mengadakan latihan dalam negara, mereka boleh menyertai Terbuka Melaka pada hujung bulan ini dan Terbuka Vietnam pada pertengahan Julai nanti.

“Jadi, tugas kami sekarang ialah membantu pasukan 4x100m lelaki untuk layak dalam Kategori A secara merit atau merayu kepada MOM mempertimbangkan mereka untuk menghantar pasukan ini dalam kategori A,” katanya.

Katanya, pencapaian terbaik pasukan kuartet negara adalah apabila mereka mencipta sejarah apabila mara ke final Sukan Komanwel 2018 buat kali pertama dengan mencatatkan masa tahunan terbaik iaitu 39.37s.

Tambahan pula, kehadiran dua pelari pecut remaja, Muhd Haiqal Hanafi dan Muhammad Zulfiqar Ismail, turut mampu meningkatkan persaingan di kalangan kuartet yang mewakili negara di Sukan Komanwel, Gold Coast pada April lalu.

Ketika ini, slot kuartet itu diisi Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa, Nixon Kennedy dan Badrul Hisyam Abdul Manaf.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 8:47 AM