AMIRA mahu jayakan konsert, Irfan nak lancar album mini tahun depan.
Ardini Sophia Sina


Dua beradik ini cukup rapat dan saling melindungi.

Amira Othman, 25, dan adiknya, Irfan Haris, 17, sama-sama menceburi bidang nyanyian dengan mempertaruhkan suara dan bakat tersendiri.

Selain itu, seorang lagi adiknya iaitu Haikal Iskandar turut berjinak-jinak dengan dunia penulisan lagu.

Menurut Amira, dia tidak menganggap kehadiran dua adik lelakinya itu sebagai pesaing dalam industri muzik.

“Mereka ada bakat dan sudah pasti kehadirannya memeriahkan lagi industri muzik tanah air. Mereka juga boleh berkembang sebagai penggubah lagu.

“Bukan kami bertiga saja, tetapi seluruh keluarga sukakan muzik. Namun, yang aktif cuma kami bertiga,” katanya.

Memasang impian mengadakan konsert sendiri, Amira mula menyimpan angan-angan itu sejak memulakan langkah sebagai penyanyi.

Dia yang juga berjinak-jinak dengan dunia lakonan, positif perkara itu dapat dilaksanakan.

Bagaimanapun, gadis ini enggan tergesa-gesa untuk melaksanakan impiannya itu. Ada beberapa perkara yang perlu dicapai sebelum benar-benar merancang konsert berkenaan.

“Buat masa ini, ada beberapa perkara yang perlu dibuat sebelum mengadakan persembahan seperti yang saya impikan. Saya perlu pastikan jumlah pengikut sudah mencukupi.

“Sementara menunggu pengikut mencapai piawaian yang saya tetapkan, saya akan hasilkan lagu duet bersama Irfan. Dia akan gubah sendiri lagu itu. Tambahan pula kami menyukai genre lagu yang sama,” katanya.

Irfan nak buat album mini

Irfan pula sudah merancang tampil dengan lagu baharu sekitar November ini.

Bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, remaja itu perlu membahagikan masa antara pelajaran dengan kerjaya nyanyian.

Katanya, dia akan bergiat aktif dalam bidang muzik selepas selesai SPM.

Menurut Irfan, dia akan terlebih dahulu memberi ruang kepada kerjaya untuk berkembang sebelum menyusun rancangan.

“Saya mengaku bukanlah pelajar cemerlang di sekolah. Cuma, apa yang saya boleh katakan adalah akan cuba sebaik mungkin untuk mendapatkan keputusan yang baik.

“Walaupun terpaksa memperlahankan kerjaya seni, saya tetap akan habiskan sekolah barulah fokus kepada nyanyian. Saya akan tampil dengan lagu baharu dengan genre yang sedikit berbeza,” katanya.

Kata Irfan, kali ini dia akan muncul dengan lagu yang lebih rancak kerana ingin mencari kelainan.

Katanya, muzik yang dipertaruhkan lebih rancak dan ada elemen gembira.

Sudah mempunyai tujuh lirik yang disiapkan, Irfan berharap dapat melancarkan album mini tahun depan.

Bagaimanapun, ia hanyalah sebahagian daripada perancangan kerjaya.

“Setakat ini, saya sudah ada tiga lagu. Hanya perlu tambah dua atau tiga lagu lagi untuk dimuatkan dalam album berkenaan. Kalau ia dapat dijalankan mengikut perancangan, salah satu lagu yang saya ingin muatkan adalah duet bersama kakak,” katanya.

Cerita raya Amira dan Irfan

Bercerita mengenai sambutan Aidilfitiri lalu, Amira bukanlah individu yang gemar menyediakan persiapan pada saat akhir.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana kerjasama dengan beberapa pereka fesyen memudahkan Amira menyediakan baju raya.

“Saya bernasib baik kerana selalu bekerjasama dengan beberapa pereka fesyen untuk baju raya. Jadi, saya pakai saja baju rekaan berkenaan untuk digayakan pada Aidilfitri lalu,” katanya.

Menurut Amira, dia sangat menghargai saat sambutan Aidilfitri kerana ia adalah waktu yang mempertemukan sanak saudara sekali gus mengeratkan lagi silaturahim.

“Bukan senang dapat berkumpul dan bertemu keluarga. Apatah lagi kalau ada adik-beradik yang sudah berkahwin, belajar di tempat jauh dan bekerja di tempat lain.

“Oleh itu, saya sangat menghargai sambutan Aidilfitri kerana ia perayaan yang dapat mengumpul semua ahli keluarga,” katanya.

Bagi Irfan pula, walaupun baru berusia 17 tahun, remaja ini tetap memberikan duit raya kepada kanak-kanak.

“Tahun ini saya sediakan duit raya. Walaupun baru berusia 17 tahun dan masih bersekolah, saya sudah ada kerjaya.

“Saya mahu merasai kenikmatan berkongsi rezeki dengan mereka. Rasanya, tidak ada salah untuk berikan duit raya walaupun saya masih bersekolah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 10:15 AM