KUALA LUMPUR 22 JUN 2018 . Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menjawab soalan selepas Majlis Penasihat Kerajaan berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Ketua Pegawai Eksekutif KTM Berhad, Ketua Pegawai Eksekutif Express Rail Link (ERL) dan NGO Penang Forum di pekarangan Menara Ilham . NSTP / MOHD YUSNI ARIFFIN
Mahanum Abdul Aziz


TAN Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang baharu berkuat kuasa esok.

Pelantikan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia itu berikutan persaraan Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi Kumpulan PNB dan Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) berkuat kuasa hari ini.

Lembaga Pengarah PNB juga mengumumkan bahawa Datuk Dr Awang Adek Hussin akan bersara sebagai Pengarah PNB dan Pengerusi PNB Research Institute Sdn Bhd berkuat kuasa hari ini.

Sementara itu, YPB juga mengumumkan Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) memaklumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih jawatan Pengerusi YPB berkuat kuasa kelmarin.

Lanjutan pelantikan itu, komposisi Lembaga Pemegang Amanah YPB juga diubah untuk merangkumi Menteri Hal Ehwal Ekonomi , Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, (juga dilantik sebagai Pengerusi Alternatif YPB), Zeti dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan PNB semalam, Lembaga Pengarah YPB dan PNB mengalu-alukan pelantikan Zeti yang juga anggota Majlis Penasihat Kerajaan itu dan yakin dengan pengalaman yang meluas, beliau akan terus memberikan kepimpinan yang kukuh kepada Kumpulan PNB dalam mencapai mandat asasnya untuk memperkasakan kekayaan korporat demi manfaat rakyat Malaysia.

Lembaga Pengarah PNB juga mengucapkan terima kasih kepada Abdul Wahid atas sumbangan yang tidak ternilai dan khidmat penuh dedikasi sebagai Pengerusi Kumpulan PNB.

PNB menghargai kepimpinan Abdul Wahid dan bimbingan yang diberikannya kepada Lembaga Pengarah dan Pihak Pengurusan PNB serta syarikat pelaburannya sejak pelantikan beliau pada Ogos 2016.

Semasa di PNB, Abdul Wahid melaksanakan pelan hala tuju untuk PNB demi mencapai tiga amanah mandat yang komprehensif; menghasilkan pulangan yang mampan dan lebih baik untuk portfolio PNB, meningkatkan kekayaan dan penyertaan ekonomi Bumiputera, dan menyalurkan sebahagian daripada keuntungan PNB kepada inisiatif-inisiatif yang menyampaikan impak sosial kepada masyarakat.

Lembaga Pengarah juga mengucapkan terima kasih kepada Awang Adek atas segala sumbangan selama tempoh perkhidmatan beliau bersama Kumpulan PNB.

PNB adalah syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia dengan aset di bawah pengurusan kini mencapai RM280 bilion.

Portfolio PNB merangkumi pelaburan strategik di syarikat korporat terkemuka Malaysia, ekuiti global, pelaburan swasta dan hartanah.

INFO

Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz

* Gabenor Bank Negara ketujuh

* Wanita pertama dilantik sebagai Gabenor BNM pada 17 April 2001

* Pada 2009, majalah Global Finance menamakan Zeti sebagai antara Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia

* Pada 2014, Zeti disenarai sebagai Ketua Bank Pusat Gred A untuk kali ke-11 berturut-turut oleh Global Finance

* Lahir di Johor Baru pada 27 Ogos 1947 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Assunta, Petaling Jaya pada 1958

* Menerima Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dalam bidang Ekonomi Analitikal pada 1970, dan kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang kewangan dan ekonomi antarabangsa pada 1978

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 6:42 PM