SCHA Alyahya. FOTO Aswadi Alias
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my

Kali terakhir figura terkenal ini muncul di layar perak adalah menerusi filem Dampak pada 2013. Bukan tidak mendapat sebarang tawaran, sebaliknya Scha Alyahya banyak terbabit dalam drama dan pengacaraan.

Scha atau Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya, 35, mengakui kerinduan untuk beraksi di layar perak tidak pernah pudar. Malah, dia sentiasa menunggu naskhah terbaik untuk membuat kemunculan.

Lantas, tawaran membintangi karya berjudul Bikin Filem terbitan Resilience Studios dianggap peluang keemasan untuknya apatah lagi watak diberikan jauh berbeza daripada apa yang pernah dilakonkan sebelum ini.

Menariknya, menerusi filem arahan M Latiff Zami itu, Scha tampil sebagai Zarina, wanita biasa yang menjadi pelakon filem dan perlu bermain dengan banyak emosi. Dalam erti kata lain, penggambaran dalam penggambaran.

“Cabaran watak Zarina tidak seperti apa yang pernah saya jayakan sebelum ini. Terdapat babak saya dirogol bapa saudara. Dari situ, saya kena tunjuk perasaan sedih dan beberapa emosi lain.

“Memandangkan saya melakonkan watak seorang pelakon, jadi, saya menggunakan pengalaman dalam industri bagi memberikan gambaran sebenar sebagai anak seni. Pada masa sama, ini peluang untuk menonjolkan realiti dan dimensi sebenar pembikinan filem membabitkan semua pihak.

“Mesej utama yang mahu disampaikan adalah tidak mudah menghasilkan filem. Jadi, masyarakat perlu ada kesedaran agar jangan merakam, sebar atau buat siaran langsung dalam pawagam,” katanya.

Komitmen diberikan isteri kepada pengacara popular, Awal Ashaari ini wajar diberi pujian apabila Scha sanggup memotong rambut.

Meski berdepan pelbagai kritikan dan caci maki, Scha menyifatkan tindakannya itu berbaloi dan puas hati bagi menjayakan watak terbabit.

“Ketika baca skrip, mereka nak saya berambut panjang. Namun, beberapa hari sebelum penggambaran bermula, saya ambil keputusan untuk potong rambut.

“Apabila saya beritahu pengarah, dia suka sebab memang nak saya berambut pendek tapi dia tak berani cakap. Saya pula memang tidak keberatan. Apatah lagi, saya sudah lama tidak berambut pendek.

“Tindakan ini saya anggap berbaloi sebab sudah lama tidak berlakon filem. Pada masa sama, saya kena tampil dengan imej berbeza. Bukan saja karakter tetapi juga kelainan dari segi fizikal iaitu berambut pendek,” katanya.

Namun begitu, Scha menafikan keputusan memotong rambut disebabkan mendapat bayaran tinggi daripada produksi.

“Tidak sama sekali. Saya dibayar setimpal macam orang lain juga. Sejujurnya, boleh saja nak pakai rambut palsu tetapi saya ambil kesempatan ini untuk menukar imej. Saya inginkan sesuatu yang segar.

“Kalau selepas ini ada watak yang memerlukan saya berambut pendek, saya suka dan okey. Buat masa sekarang, saya nak ‘enjoy’ dengan rambut ini dahulu,” katanya.

Watak antagonis dapat pujian

Tidak cukup dikecam gara-gara berambut pendek hingga ada menyamakannya dengan sayur kobis dan mop lantai, lakonan Scha dalam drama Ti Amo Sweetheart 100 Hari yang ditayangkan 1 hingga 5 Syawal lalu juga mengundang amarah penonoton.

Scha yang melakonkan watak antagonis mengakui ‘diserang’ netizen dalam laman sosial menerusi kiriman mesej terus (Direct Message) yang membenci dan tidak menyukai watak berkenaan.

“Walaupun hanya tampil sebagai pelakon pembantu, saya nak buat sebab watak antagonis. Dulu pernah dapat watak sebegini iaitu ketika zaman remaja. Kali ini, ‘mood’ dan suasana berbeza.

“Alhamdulillah, kalau orang suka. Saya menganggap setiap maklum balas itu tanda watak terbabit menjadi dan terkesan kepada mereka. Malah, orang Astro juga memaklumkan selepas ini saya boleh bawa lagi watak sebegini.

“Kalau nak tahu, ramai yang mesej kata saya jahat. Saya tidak jawab sebab takut. Ini kali pertama saya berdepan situasi sebegini membabitkan watak yang dilakonkan,” katanya.

Begitupun, Scha mengakui dia masih perlu belajar banyak perkara terutama dalam menjiwai karakter gelap.

Malah, menerusi drama itu Scha tidak mahu berlebih-lebihan dalam lakonan kerana enggan dituduh ‘makan’ lakonan bintang utama, Neelofa.

“Kalau nak tahu, saya tidak ‘all out’ dalam drama ini. Apabila menonton, saya berasakan boleh buat lebih bagus lagi.

“Dalam drama ini juga, saya tak nak ‘over’ sebab nanti, ada pula yang mengatakan saya nak ‘makan’ lakonan Lofa.

“Malah, saya selalu dengar perkara ini terjadi pada orang lain, baik dalam lakonan ataupun pengacaraan. Saya tak mahu ia berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 6:24 AM