SYED Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO Arkib NSTP
Luqman Arif Abdul Karim
cnews@nstp.com.my


AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman, 26, yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan menempa sejarah apabila menjadi menteri penuh termuda di Malaysia, sekali gus mencerminkan gagasan Malaysia Baharu kerajaan.

Sebelum ini, rekod pemimpin paling muda dalam Kabinet disandang Datuk Seri Najib Razak ketika dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos pada 1978, ketika beliau berusia 25 tahun sebelum memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan ketika berusia 33 tahun.

Mengulas pelantikan itu, Syed Saddiq berkata, penampilan beberapa pemimpin muda dalam barisan Kabinet membuktikan corak pentadbiran kerajaan secara menyeluruh, selain sentiasa mengutamakan merit dalam idea dan sumbangan tanpa mengira usia serta latar belakang.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, komitmen dicerminkan kerajaan adalah bukti usaha untuk mengangkat suara anak muda akan terus dihargai.

“Saya baru saja selesai mengangkat sumpah di Istana Negara sebagai anggota Jemaah Menteri dan bakal menggalas tugas sebagai Menteri Belia dan Sukan bagi penggal ini.

“Saya memanjatkan rasa penuh syukur dan takzim ke hadrat Ilahi atas pelantikan ini.

“Sesungguhnya ia adalah amanah amat berat untuk saya pikul, namun ia berupaya digalas serta percaya kejayaan akan diraih bersama-sama kakitangan Kementerian Belia dan Sukan sebagai satu pasukan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syed Saddiq berkata, pelbagai dasar dan rancangan untuk belia akan diangkat, selain dijadikan hala tuju Malaysia bagi memastikan golongan muda menjadi peneraju utama agenda pembangunan negara.

Katanya, kerajaan sentiasa menaruh kepercayaan bahawa nasib dan masa depan belia harus ditentukan oleh mereka sendiri, sekali gus menyaksikan ruang serta peluang secukupnya disediakan dalam membuktikan kemampuan golongan berkenaan sebagai penggerak hala tuju negara.

“Kerajaan juga berazam untuk memperjuangkan sukan tempatan secara lebih menyeluruh dan adil, malah Malaysia akan terus menempa kejayaan dalam pelbagai bidang seperti aspek pengurusan, kemudahan dan hal ehwal atlet yang menjulang kejayaan di arena tempatan dan antarabangsa.

“Nasib golongan atlet akan terus dibela dan dijaga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 1:30 PM