Norrasyidah Arshad
norrasyidah@nstp.com.my


PUNCA kematian bayi lelaki Adam Rayqal Mohd Sufi Naief, lima bulan di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves, malam semalam, disebabkan kecederaan di bahagian kepala.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, hasil bedah siasat terhadap mangsa menemui kesan retak di tempurung kepala sebelah kiri serta pendarahan di bahagian kanan otaknya.

“Kita masih menjalankan siasatan sama ada bayi itu dipukul, dihempas atau terjatuh ketika berada dalam jagaan suspek. Tiada sisa susu ditemui pada kerongkong mangsa.

“Setakat ini, tiada sebarang senjata ditemui berhubung kes ini, tetapi kita masih siasat perkara ini," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Fadzil berkata, bedah siasat dijalankan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) di Hospital Kuala Lumpur bermula jam 9.45 pagi hingga 1 tengah hari tadi.

Katanya, dengan laporan bedah siasat itu, ia sekali gus menafikan keterangan awal suspek sebelum ini bahawa bayi berkenaan tersedak susu.

Mengulas lanjut, Fadzil berkata, pada hari kejadian, suspek turut mengasuh dua lagi bayi lain, namun diserahkan kembali kepada ibu bapa mereka.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak sejak dua tahun lalu dan turut mempromosikan perkhdimatannya di laman sosial.

“Siasatan menyeluruh akan dijalankan termasuk berkemungkinan mangsa didera sebelum ditemui mati termasuk motif pembunuhan,” katanya.

Berita berkaitan

'Adam Rayqal, jaga diri di sana ya'

Jenazah Adam Rayqal dikebumikan di Terengganu

'Kematian Adam Rayqal begitu tragis - Datuk'

'Suspek kes Adam Rayqal direman bantu siasatan'

'[UPDATE] Ibu bapa Adam Rayqal buat pengecaman'

'[UPDATE] Adam Rayqal ditemui mati di rumah pengasuh'

'Kembalikan anak kami...'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 6:03 PM