PEKERJA kedai terhibur dengan keletah Vanessa memberinya makanan dan minuman. - Daily Mail
Daily Mail

Manila: Seorang kanak-kanak perempuan buta mencuri perhatian orang ramai apabila dia masuk ke sebuah kedai serbaneka dengan segenggam wang syiling untuk membeli buku nota kerana terlalu bersemangat ingin ke sekolah.

Vanessa Esposio, empat, yang dilahirkan dengan glaucoma memberitahu, dia mengumpul wang syiling berkenaan supaya dapat bersekolah seperti kanak-kanak lain biarpun tidak dapat melihat.

Anak bongsu daripada sembilan beradik itu hidup dalam keadaan yang miskin dan dibesarkan ibu tunggal.

Gelagat Vanessa turut dilihat pelanggan di dalam kedai serbaneka 7-11 itu sebelum membantunya.

Dia ditanya apa yang ingin dibelinya sebelum menjawab ‘buku nota’ sambil menunjukkan jarinya ke arah bahagian peralatan sekolah.

“Buku nota! buku nota! Saya ingin membeli buku nota. Kakak! Saya ingin membeli buku nota,” jeritnya berulang kali.

Dia kemudian dibawa ke bahagian rak buku nota dan memilih buku berwarna oren dan mengambil pensil sebelum dilayan oleh pelanggan lain dan pekerja di kedai terbabit.

Pelanggan, Rachel Figueroa berkata: “Vanessa memang periang. Dia cuma ingin buku nota untuk digunakan di sekolah. Dia turut menunjukkan kemahiran matematik kepada pekerja kedai itu.

“Dia budak cerdik dan saya berharap serta berdoa dia dapat bersekolah. Dia berjiwa besar dan ingin belajar.

“Tetapi mungkin agak sukar untuknya memandangkan penglihatannya kurang jelas.

Pekerja kedai yang juga terhibur dengan keletah Vanessa kemudian memberinya makan dan minuman coklat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 6:25 AM