LOKASI insiden kemalangan membabitkan lima kereta Kilometer 10.7 Lebuh Raya Maju Expressway (MEX). Foto/Facebook/ShahBandi.
Teoh Pei Ying


LELAKI maut apabila kereta dinaikinya bertembung dengan kereta dipandu melawan arus di Kilometer 10.7 Lebuh Raya Maju Expressway (MEX), Kuala Lumpur, semalam.

Kemalangan 3.30 pagi itu membabitkan lima kereta iaitu dua Proton Preve dan masing-masing satu Pegueot, Proton Waja dan Mazda 3.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asistan Komisioner Zulkefly Yahya berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai pengawal keselamatan, Juhan Sabturani, 36.

Beliau berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Preve berlanggar dengan Mazda 3 yang dipandu melawan arus di laluan kanan lebuh raya berkenaan.

"Pada masa sama tiga lagi kenderaan iaitu satu lagi Proton Preve serta Peugeot dan Proton Waja yang mengekori Proton Preve pertama itu gagal menghentikan kenderaan masing-masing.

"Ketiga-tiga kereta Proton dan Peugeot terbabit adalah dari syarikat sama dan dalam perjalandan dari pusat bandar ke Putrajaya ketika kemalangan berlaku.

“Mangsa yang berada di tempat duduk belakang maut akibat kecederaan di kepala," katanya.

Dalam pada itu, turut cedera adalah pemandu dan seorang lagi penumpang yang berada dalam kereta bersama mangsa serta pemandu Mazda 3.

Zulkefly berkata, mangsa yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rawatan lanjut dan semua kenderaan terbabit akan dihantar untuk pemeriksaan oleh Jabatan Kimia dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 10:27 AM