Mohamed Basyir


POLIS melumpuhkan sindiket dadah dengan rampasan 306 Kilogram (Kg) syabu bernilai RM15.3 juta dalam bungkusan teh di Jelutong, Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, polis menemui 295 bungkusan teh mengandugi 306 Kg syabu dalam kereta di tempat letak kenderaan pangsapuri.

Rampasan itu susulan soal siasat enam suspek berusia antara 19 hingga 37 tahun termasuk wanita berusia 30 tahun yang ditahan dalam tiga serbuan terdaulu iaitu dua di Kuala Nerang, Kedah dan satu di Jelutong, Pulau Pinang.

"Dadah dalam setiap bungkusan teh itu bernilai RM50,000 sekilogram. Selalunya, setiap bungkusan seberat satu Kg tetapi ada bungkusan yang beratnya lebih daripada 1 Kg.

“Syabu yang dirampas boleh dijual kepada 1,500 penagih dadah.

"Kami masih menyiasat sumber syabu tersebut tetapi mempercayai ia dari negara jiran di utara. Bungkusan teh terbabit juga serupa bungkusan yang pernah dirampas sebelum ini," katanya di sidang media di Georgetown, hari ini.

Turut dirampas, wang tunai Ringgit dan Baht serta kereta dan jam tangan.

Mohmad berkata, ahli sidiket membuat kerja rencam hari-hari tetapi menumpukan usaha terhadap aktiviti sindiket itu.

Polis turut giat memburu beberapa ahli sindiket lain.

"Syabu ini dipercayai akan diedar bagi pasaran tempatan dan negara jiran.

"Pulau Pinang dianggap lokasi stragtegik bagi sindiket dadah ini kerana mempunyai jalan masuk mudah melalui landasan air dan darat, membolehkan dadah senang diangkut," katanya.

Keenam-enam suspek sudah direman sehingga 13 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 1:43 PM
MOHMAD (tiga dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan syabu yang dirampas. FOTO Mikail Ong