PEMUDA direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi membantu siasatan berhubung kes mencabul seorang kanak-kanak perempuan sembilan tahun di sebuah surau di Taman Seri Tanjung Kling. FOTO Nur Saliawati Salberi
Nur Saliawati Salberi


LELAKI dipercayai memperdaya kanak-kanak perempuan sembilan tahun dengan mengajaknya solat sebelum bertindak mencabulnya dalam surau di Taman Seri Tanjung, Tanjung Kling, Melaka, semalam.

Dalam kejadian 7.10 malam itu, difahamkan mangsa berjalan pulang ke rumahnya selepas menghadiri program rumah terbuka anjuran kawasan taman perumahan tempat tinggalnya.

Pemuda berkenaan dipercayai memanggil mangsa untuk menunaikan solat bersama, dan ketika berada dalam surau, suspek tiba-tiba menyelak seluar mangsa dan menciumnya.

Jurucakap polis berkata, bapa mangsa yang masih berada pada majlis hari raya berkenaan, menyedari kejadian selepas anaknya datang sambil menangis dan mengadu kesakitan pada kemaluan..

"Bapa mangsa yang curiga kemudian bertanya kepada anaknya sebelum mangsa memberitahu ada individu yang memegang kemaluan dan menciumnya.

"Mangsa kemudian menunjukkan ke arah suspek yang ketika itu sedang mengambil wuduk di surau berdekatan," katanya.

Beliau berkata, bapa mangsa kemudian mendekati suspek dan bertanyakan apa yang didakwa anaknya sebelum pemuda terbabit mengaku perbuatannya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN)Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

"Suspek berusia 25 tahun kini direman bagi bagi membolehkan siasatan lanjut mengikutSeksyen 14 (a) Akta 792 Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dilakukan," katanya.

Mohd Nor Yhazid berkata, suspek direman tujuh hari bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 6:50 PM