KANAK-KANAK mengambil kesempatan mandi di kolam renang yang dibuka secara percuma. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim
cnews@nstp.com.my

Kuala Terengganu: Dua kegembiraan berbeza pada satu masa. Itu yang dialami kanak-kanak yang mengunjungi majlis Jamuan Hari Terbuka Aidilfitri Madrasah Tarbiyyah Islamiyyah Darul Hijrah, Chendering, di sini, apabila bukan hanya dapat makan, juga berpeluang mandi-manda percuma di kolam renang di situ.

Pengasas madrasah, Wan Muhammad Mizan Abdul Latiff berkata, kolam renang yang dibina dalam kawasan madrasah khusus untuk pelajar dan penghuni yang kini mencecah 200 orang.

Bagaimanapun, sempena majlis hari terbuka Aidilfitri, pihaknya memberi kelonggaran kepada kanak-kanak menggunakan kolam renang secara percuma dan aktiviti itu perlu dikawal keluarga masing-masing.

“Dalam bergembira, kami nasihatkan keluarga memantau anak mereka bermain di kolam ini kerana kami tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku.

“Kebanyakan kanak-kanak suka mandi di kolam renang dan ada antara mereka tidak pernah merasai mandi di kolam renang dan sempena majlis ini, saya membenarkan mereka bermain di kolam ini,” katanya ketika ditemui, semalam.


WAN Muhammad Mizan memberi duit raya kepada pelajar Pusat Tahfiz ArRusd, Pasir Panjang, semalam. FOTO Zaid Salim

Majlis bagi tahun kelima itu meriah apabila hampir 10,000 tetamu membanjiri pekarangan madrasah berkenaan sebaik majlis bermula jam 10 pagi.

“Kami menjemput semua masyarakat di Kuala Terengganu termasuk keluarga pelajar, semua pusat tahfiz dan pondok serta anak yatim di sekitar bandar ini.

“Alhamdulillah, sambutan membanggakan dan kami tidak putus-putus menerima kunjungan tetamu yang bukan hanya dari daerah ini malah dari daerah lain turut serta selain tetamu dari luar negeri ini,” katanya.

Majlis yang berakhir jam 5 petang turut diserikan dengan persembahan qasidah, alunan zikir, nasyid dan lagu berunsurkan keagamaan serta pencak silat oleh pelajar madrasah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 9:49 AM