Sofi tidak boleh terbabit dalam sebarang program televisyen. FOTO NURUL SHAFINA JEMENON
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


GARA-gara terpalit isu penyalahgunaan dadah, pelakon Sofi Jikan mengakui tidak mendapat sebarang tawaran berlakon selain beberapa projek ditarik balik.

Malah Sofi atau Mohamad Shoffi Jikan, 48, turut mendedahkan kebanyakan rakan lari dan menjauhkan diri daripadanya.

"Sejujurnya, selepas timbul kes berkenaan saya tidak mendapat sebarang tawaran berlakon. Kalau ada pun, pihak terbabit batalkan. Malah, beberapa projek yang dipersetujui sebelum ini mengarahkan saya untuk menulis surat dengan alasan menarik diri.

"Saya juga tidak boleh terbabit dalam sebarang program di kaca TV. Saya tidak pasti sama ada nama disenarai hitam kerana tidak ada hitam putih. Saya pula jenis malas nak bertanya dan tidak suka merungut. Nak buat saya, buatlah.

"Dalam masa sama, kawan juga ramai lari. Kalau saya hubungi atau menghantar mesej, mereka tidak jawab. Dari situ, baru saya tahu siapa kawan dan lawan. Mungkin mereka tidak mahu terbabit dengan saya, jadi tidak ada siapa mahu berkawan dengan saya," katanya kepada Harian Metro.

Sofi berkata pada majlis pelancaran filem Jodoh Syaitan, semalam menampilkannya sebagai pelakon utama.

Dia bagaimanapun tidak mahu prejudis atas tindakan segelintir pihak terbabit.

"Saya terima apa saja orang cakap mengenai diri saya. Lagipun, apa berlaku ada hikmah di sebaliknya. Dari situ ia dapat membuka ruang untuk saya menceburi bidang perniagaan.

"Jadi, apabila mendapat tawaran berlakon filem ini dan diangkat sebagai hero, saya berasakan ia satu anugerah," katanya.

Ditanya sejauh mana hubungan dengan pelakon, Datuk Farid Kamil, Sofi mengakui suami kepada Datin Diana Danielle itu ada menghubunginya namun belum waktu sesuai untuk mereka berhubung dan berbaik semula.

"Diakui ada beberapa rakan nak pertemukan kami, tetapi saya tidak berminat. Malah, Farid juga ada menghubungi, tapi saya tak jawab.

"Terus terang, saya masih belum boleh terima apa yang dia lakukan terhadap saya. Saya macam tidak percaya dia sanggup buat seperti itu. Disebabkan tindakannya, saya hilang segala-galanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 12:52 PM