ROSMALINA memantau Iman Syahmi bermain kipas angin di rumah mereka di Gombak. FOTO NSTP
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Jika kanak-kanak sebayanya tertarik dengan gajet atau permainan berwarna-warni, Iman Syahmi Azhar Adam, 8, pula obses kepada kipas angin.

Bunyinya mungkin agak janggal bagi sesetengah orang, namun pada mata ibu bapa kanak-kanak berkenaan, perkara itu bukan lagi pelik.

Ibu Iman Syahmi, Rosmalina Muhammad Nor, 39, berkata, anak sulungnya itu memiliki minat luar biasa berbanding kanak-kanak lain kerana dia mengalami autisme ringan.

“Sejak bayi lagi saya perasan jika kami belikan barang permainan seperti kereta, dia akan pusingkan rodanya saja, begitu juga helikopter kipasnya saja yang lebih menarik perhatian anak saya.

“Berikutan itu jika mahu beli permainan untuk Iman Syahmi, kami pilih jenis yang berunsurkan atau mempunyai kipas,” katanya yang menetap di Gombak, di sini.

Menurutnya, sejak setahun lalu, Iman Syahmi kerap membuat permintaan agar dia dan suami membelikan kipas angin yang bukan lagi sebagai permainan.

“Semakin usianya bertambah minat Iman Syahmi, terhadap kipas semakin ketara. Setiap kali nampak kipas di tempat awam contohnya di pasar raya, dia pasti akan berlari ke arah peralatan elektrik itu dan menelitinya dengan penuh minat.

“Kini, setiap kali dapat keputusan cemerlang atau mendapat tempat pertama dalam peperiksaan, dia akan meminta kami membelikan hadiah kipas.

“Oleh kerana mahu memberikan penghargaan dan motivasi dalam pelajaran, kami menuruti saja permintaannya itu biarpun ia janggal di mata orang lain,” katanya.

Katanya, setakat ini dia dan suami membelikan tiga kipas angin pelbagai jenama sebagai hadiah kepada Iman Syahmi serta menjadi koleksi kesayangan kanak-kanak itu.

“Apa yang saya nampak, Iman Syahmi anggap kipas angin itu sebagai permainan. Mula-mula memang pelik, dalam banyak-banyak benda kipas juga yang dia obses, tapi sekarang kami sudah lali dan faham.

“Asalkan ia tidak memudaratkan diri dan menggembirakan hati anak istimewa ini, kami layankan saja permintaannya itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 10:03 AM