APRENA Manrose. FOTO Mohd Khairul Helmy
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Kemunculan Aprena Manrose menerusi drama Tiada Arah Jodoh Kita yang ditayangkan menerusi slot Akasia beberapa bulan lalu ternyata memberi tuah kepadanya.

Selain berjaya mencipta populariti, pemilik nama sebenar Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 25, ini semakin dikenali dan menjadi sebutan dalam kalangan penggiat drama.

Melangkah setapak lagi dalam bidang lakonan, Aprena yang juga anak kepada pasangan penyanyi dangdut terkenal, Iwan dan Allahyarham Rosnah Mohd Noor ini juga bakal tampil dalam filem pertamanya.

Tawaran membintangi filem Jodoh Syaitan yang memulakan penggambaran minggu depan dianggap peluang keemasan untuknya.

Walaupun pada mulanya dia menolak atas faktor kurang yakin kerana lemah semangat terhadap perkara seram, Aprena bagaimanapun membulatkan hati dan menyahut cabaran itu selepas diyakinkan penerbit dan pengarah.

“Saya seorang yang lemah semangat, apatah lagi kena melakonkan watak hantu. Saya memang takut berada di tempat gelap dan perkara yang ada unsur kejutan. Disebabkan itu, saya menolak tawaran diberikan.

“Namun, sokongan diberikan pihak penerbit dan keluarga menambahkan keyakinan diri. Selepas seminggu baru saya beri jawapan. Jadi, saya terima tawaran ini sebagai cabaran untuk diri sendiri,” katanya.

Ketika hati Aprena berbolak-balik menerima tawaran membintangi filem terbitan AD Motion Media itu, sepupu kepada pelakon Uqasha dan Nelydia Senrose ini turut mendapat tawaran berlakon drama 13 episod.

“Tawaran datang serentak, malah penerbit drama berkenaan boleh dikatakan memberikan tawaran lebih menarik. Namun, saya berfikir semula jika tolak tawaran filem bila pula tawaran ini akan ada? Saya menjadi pelakon memang nak ‘jual’ diri dalam filem dan drama.

“Saya menolak cara baik tawaran drama terbabit kerana jadual penggambaran bertembung. Namun, saya dimaklumkan penggambaran ditunda dan penerbit sanggup menunggu saya habis penggambaran filem ini,” katanya.

Perkara itu sedikit sebanyak membuatkan Aprena berasa bertuah dan dihargai kerana menjadi rebutan pihak penerbit untuk bekerjasama dengannya.

“Sejujurnya saya juga tidak menjangka boleh berdepan situasi ini. Saya menganggap ini rezeki kerana orang mula memandang bakat saya.

“Apabila perkara ini berlaku, saya berasa sangat dihargai dan satu penghormatan kerana sanggup menunggu saya,” katanya.


APRENA dan suami tersayang.FOTO Mohd Khairul Helmy

Rujuk filem Nang Nak

Pembabitan Aprena dalam filem seram ini ibarat mimpi jadi nyata.

Dalam beberapa temu bual bersama media sebelum ini, Aprena berkongsi teringin melakonkan watak hantu walaupun tidak mempunyai ‘keberanian’ beraksi dalam watak itu.

“Sebelum ini kalau ada rakan wartawan tanya watak yang ingin dilakonkan, saya selalu cakap nak berlakon menjadi hantu. Bagi saya watak ini mempunyai kekuatan dan cabaran tersendiri. Walaupun saya seorang penakut, tapi tetap nak buat.

“Sekurang-kurangnya watak ini ada dalam profil seni saya. Apatah lagi, tawaran sebegini tidak selalu ada buat pelakon baru seperti saya. Disebabkan itu, saya cuba memberikan lakonan terbaik,” katanya.

Berkongsi mengenai persediaan melakonkan watak itu, Aprena yang juga pelakon drama Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin menjadikan filem seram popular Thailand, Nang Nak sebagai rujukan.

“Selain persediaan fizikal dan mental, dari segi lakonan dan penghayatan watak saya banyak buat rujukan filem Nang Nak. Watak saya lebih kurang Nak iaitu wanita yang setia menunggu kepulangan suaminya.

“Untuk filem tempatan, saya menonton semula filem lakonan Maya Karin dalam Pontianak Harum Sundal Malam. Apa pun, saya kena bersedia. Ini filem sulung saya, jadi tidak boleh bersikap sambil lewa.

“Malah saya bertuah kerana dapat bekerjasama dengan pelakon hebat seperti Wan Hanafi Su, Soffi Jikan, Fauziah Nawi dan Jay Iswazir. Saya akan pastikan dapat menimba ilmu daripada mereka,” katanya.

Bakal menjalani penggambaran di Kelantan dan Terengganu, Aprena berkata, dia tidak akan ditemani suami, Mohd Afiq Hazman, 31.

“Ketika mendapat tawaran ini, suami bertanya boleh atau tidak saya buat. Sebab dia tahu saya penakut. Malah dia bimbang saya akan balik kerana dia tidak dapat menemani di lokasi. Pada masa sama, dia tetap memberikan sokongan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 9:04 AM