LAPORAN portal berita Harian Metro, Selasa lalu mengenai Muhammad Luthhakim yang meninggal dunia selepas dipercayai didera ibu kandungnya.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


POLIS mengesahkan suspek wanita berusia 29 tahun yang ditahan kerana dipercayai mendera Muhammad Luthhakim Abdullah hingga mati pada Isnin lalu turut membuat rakaman video sebagai bukti kononnya dia sudah berusaha menyelamatkan mangsa.

Sumber berkata, suspek yang juga ibu kandung mangsa mendakwa video itu dirakam oleh anak keduanya berusia lapan tahun menggunakan telefon bimbit sejurus mangsa tidak sedarkan diri di rumah.

“Kami sudah teliti video itu dan ia menunjukkan suspek sedang usaha untuk mengejutkan anaknya yang tidak sedarkan diri sebelum menghubungi pihak ambulans.

“Bagaimanapun, klip video itu mempunyai keraguan dan seolah-olah tidak munasabah. Apa tujuan dia (suspek) hendak rakam video itu? Untuk buktikan apa?

“Jika dia benar-benar panik, dia tidak akan buat video itu sebaliknya bergegas membawa anaknya ke hospital,” kata sumber itu kepada NSTP hari inil.

Dalam kejadian Isnin lalu, Muhammad Luthhakim, 10, disahkan meninggal dunia pada 1 tengah hari di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas dilaporkan tidak sedarkan diri di rumahnya di Taman Permatang Badak Maju, Permatang Badak, Kuantan.

Hasil bedah siasat mendapati, murid Tahun Empat itu meninggal dunia disebabkan berlaku pendarahan pada saluran makanan mangsa yang disebabkan oleh pecah salur darah atau ulser pada esofagus disebabkan berlaku pukulan kuat.

Ekoran kejadian itu, pasangan suami isteri berusia 29 dan 30 tahun direman seminggu bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Mohd Noor Yusof Ali, berkata pihaknya sudah meneliti klip video berkenaan dan siasatan masih diteruskan.

Beliau berkata, buat masa ini tiada keperluan untuk pihaknya menjalankan ujian psikitri ke atas ibu kandung mangsa dan siasatan akan dijalankan daripada pelbagai sudut termasuk mengambil keterangan saksi, jiran, dan guru sekolah mangsa.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Polis nafi tidak siasat ibu mangsa dera'

'[UPDATE] 'Terkejut anak saudara mati didera''

'[UPDATE] Ibu, bapa mangsa dera direman seminggu [METROTV]'

'[UPDATE] Kesan melecur pada kemaluan mangsa'

'Ibu jenis apa kau ni...'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 3:42 PM