MASKOT Android, Bugdroid di hadapan ilustrasi logo Google. FOTO Reuters
AFP

KESATUAN Eropah (EU) mengenakan denda anti-kepercayaan tertinggi berjumlah 4.34 bilion euro (RM20.43 bilion) terhadap Google, hari ini, kerana menyalahgunakan dominasi sistem operasi Android.

Pesuruhjaya Persaingan EU, Margrethe Vestager berkata, Google secara tidak sah menggunakan monopoli Android untuk meningkatkan penggunaan enjin carian dan pelayarnya sendiri.

"Hari ini, suruhanjaya membuat keputusan mendenda Google 4.34 bilion euros (RM20.43 bilion) kerana melanggar peraturan anti-kepercayaan EU," katanya ketika sidang media di Brussels, hari ini.

"Google menggunakan amalan tidak sah ini untuk memastikan dominasi dalam pasaran carian Internet," katanya.

Jumlah itu hampir dua kali ganda rekod 2.4 bilion euro (RM11.29 bilion) yang dikenakan terhadap Google tahun lalu berhubung perkhidmatan pencarian membeli-belah dalam talian.

Denda itu juga bersamman kira-kira dua minggu pendapatan bagi syarikat induk Google, Alphabet Inc dan tidak akan menjejaskan rizab tunainya sebanyak $102.9 bilion (RM 417.18 bilion.)

Susulan itu, EU memberi Google masa 90 hari untuk menamatkan ‘amalan tidak sah’ berkaitan dengan pengoperasian sistem Android digunakannya atau berdepan denda tambahan.

“Google kini mesti menamatkan perbuatan itu dalam tempoh 90 hari atau berdepan bayaran penalti sehingga lima peratus daripada purata perolehan harian dunia Alphabet, syarikat induk Google,” kata Suruhanjaya Eropah dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Google akan merayu keputusan itu.

Jurucakapnya, Al Verney berkata dalam satu kenyataan: “Android mewujudkan lebih banyak pilihan untuk semua orang, bukan mengurangkannya. Kami akan merayu keputusan (Suruhanjaya EU) itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 8:11 PM