ADAM Shahz. FOTO arkib NSTP
ADAM Shahz. FOTO arkib NSTP
Amirul Haswendy Ashari.


PELAKON Adam Shahz, 37, menempelak segelintir artis tempatan yang terikut-ikut dengan fenomena aplikasi 'Tik Tok' dan terbaru, Kiki Dance, iaitu perlakuan menari di luar kereta sedang bergerak perlahan, sejak akhir-akhir ini.

Pelakon filem Juvana ini berkata, kebanyakan perbuatan seperti Kiki Dance atau Tik Tok hanya dilakukan masyarakat awam di luar negara, bukan artis atau selebriti.

"Tapi di sini, artis, selebriti dan figura awam (public figure) yang buat, nampak sangat mentaliti mereka ini cetek padahal kita sepatutnya menunjukkan teladan yang baik.

"Disebabkan segelintir rakan artis yang mengaibkan diri sendiri, habis yang lain turut terpalit sama," katanya.

Apatah lagi masyarakat akan kembali menyalahkan artis sendiri dengan alasan, artis yang memulakannya dulu.

Katanya, apabila ada pihak melabel artis sebagai sampah, ada pula selebriti yang melenting dan marah.

Dia turut merujuk peringatan dikongsikan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) yang tular di media sosial dan ditujukan kepada semua anggota ATM agar tidak memuatnaik video Tik Tok atau seumpamanya ketika berpakaian seragam kerana bimbang memberi implikasi negatif terhadap kerjaya tentera.

Malah, peringatan bahawa anggota ATM bukan artis dan bahan publisiti murahan, menguatkan lagi dakwaan artis boleh dilabel sebagai sampah dek perbuatan terikut-ikut dengan budaya mengaibkan.

Adam akui tegurannya itu juga sebenarnya ditujukan secara umum dan tiada kaitan langsung dengan bekas isteri, Fatin Afeefa yang dipercayai pernah memuatnaik video sama di laman sosial, sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 4:53 PM