Pegawai Kastam Diraja Malaysia merampas sebahagian rokok seludup di kedai runcit di Jalan Semarak ketika serbuan Operasi Pacak Rokok Seludup/ Kontraban 2016 Wilayah Persekutuan. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Skuad Khas Harian Metro


BUDAYA rasuah atau kawtim serta tidakkecekapan agensi penguat kuasa menjaga sempadan negara adalah antara faktor kegiatan penyeludupan rokok bermaharajalela.

Malah, kartel rokok ini seolah-olah semakin berani merasuah atau kawtim dengan sesiapa sahaja asalkan operasi mereka tidak diganggu. Istilah ‘win-win’ atau ‘menang-menang’ digunakan seperti negara ini tiada undang-undang.

Namun begitu, tidak semua anggota dan pegawai penguat kuasa yang boleh ‘dibeli’ tetapi mereka akan tetap berusaha mempengaruhi kakitangan berintergriti tinggi ini.

Sekiranya tindakan segera membetulkan ketirisan dan budaya negatif ini tidak dilakukan termasuk meningkatkan integriti, negara akan terus kehilangan berbilion ringgit.

Bayangkan jika laba RM5 bilion setahun yang dijana kartel rokok itu atas keuntungan menyeludup itu dimiliki kerajaan, tentu rakyat teramai akan mendapat faedah.

Jabatan yang paling terdedah adalah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana ia adalah agensi terbesar yang bertanggungjawab terhadap sebarang aktiviti percukaian dan penguatkuasaan berkaitan rokok selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Lebih berani, kartel ini menggunakan tonto yang sentiasa peka dan berkampung di sekitar pejabat agensi penguat kuasa bagi memastikan bila operasi akan dilakukan.

Kartel ini memiliki wang yang banyak dan jika ada orang mereka yang ditahan kerana menjual rokok seludup, mereka bersedia menyediakan peguam atau membayar wang denda yang dikenakan mahkamah.

Risiko menyeludup rokok cukup rendah kerana kini jarang operasi yang dijalankan pihak berkuasa berjaya menahan ‘orang’, sebaliknya lebih banyak barang yang dirampas atau disita.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar berkata, budaya rasuah atau kawtim ini boleh dihalang dengan kecekapan serta hubungan antara perbuatan rasuah dan birokrasi.

“Pada masa ini, TI-M merasakan agensi pihak berkuasa terutama JKDM ada kuasa budi bicara yang luas berhubung dengan prosedur mereka yang mungkin membolehkan beberapa pegawai terdedah kepada perbuatan rasuah atau dalam kata lain memiliki tahap integriti, akauntabiliti, dan ketelusan yang rendah.

“Oleh itu adalah penting pihak atasan merombak pegawai berkenaan yang berisiko rasuah bagi meningkatkan kecekapan agensi.

“Adalah disyorkan bahawa putaran kerja sedemikian akan dibuat setiap tiga tahun bagi mereka yang bekerja di pekerjaan berisiko tinggi dan pegawai di sempadan untuk mengurangkan kemungkinan rasuah,” katanya.

Menurutnya, kajian dijalankan Persatuan Fraud Bertauliah Malaysia (ACFE) mendapati organisasi biasanya kehilangan lima peratus daripada hasil akibat penipuan.

“Oleh itu, penting untuk mengurangkan kebocoran dengan menguatkan dasar kawalan dalaman organisasi kerana ini akan mengurangkan tahap penipuan.

“Selain itu, TI-M ingin mencadangkan JKDM untuk mempertimbangkan membentuk skuad khas untuk mengekang penyeludupan tembakau dan minuman keras.

“Perlu ada pindaan kepada undang-undang untuk memasukkan hukuman penjara mandatori bagi kesalahan penyeludupan haram di bawah Seksyen 135 Akta Kastam dan untuk meningkatkan denda bagi kesalahan-kesalahan yang berkenaan,” katanya.

Paling penting, katanya, orang ramai perlu diingatkan bahawa sebarang percubaan menyogok pegawai JKDM boleh ditahan serta didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 17B Akta SPRM 2009 dengan penalti 20 tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan.

Penganalisis jenayah itu berkata, terdapat juga keperluan untuk meningkatkan pemeriksaan dan kemudahan Kastam di Rantau Panjang, Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar kerana keadaan kerja yang baik akan meningkatkan produktiviti.

“Kami juga ingin mencadangkan kepada kerajaan untuk menaik taraf kemudahan pemeriksaan termasuk termasuk penggunaan mesin pengimbas canggih di pelabuhan utama negara,” katanya.

Selain itu, ada juga beberapa cadangan kepada kerajaan iaitu menubuhkan satu Pasukan Khas untuk menangani kehilangan sumber kerajaan akibat penyeludupan. Ahli pasukan itu hendaklah dilantik dalam kalangan agensi penguat kuasa dan mereka yang terbabit dalam industri itu. Melalui kaedah ini perancangan pencegahan atau operasi boleh diselaraskan dan dibuat secara berkala serta berkesan.

Dicadangkan juga denda yang tinggi hingga RM100,000 dan penjara mandatori dikenakan atas kesalahan menyeludup rokok.

Kegiatan kartel rokok ini perlu ditangani secara bersungguh-sungguh seperti memerangi dadah kerana jika dibiarkan, kartel yang turut terbabit dengan jenayah keganasan ini mampu menggugat kestabilan dan keselamatan negara.

“Apa pun, semua agensi penguatkuasa dalam satu jawatankuasa untuk memastikan keberkesanan operasi. Sebaiknya lakukan operasi bersepadu dari semasa ke semasa perlu dilaksanakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 3:49 PM