Tuan Asri Tuan Hussein

MAKKAH: Jemaah yang bermasalah atau kurang berkemampuan untuk melakukan ibadat tawaf atau saie kini ada satu lagi pilihan untuk memudahkan mereka iaitu menggunakan perkhidmatan skuter pandu sendiri.

Bayaran dikenakan ialah SR50 (RM54) untuk seorang dan satu ibadat sama ada tawaf atau saie.

Jika untuk kedua-duanya, cajnya ialah SR100 (RM108). Jika menaiki skuter dua tempat duduk, cajnya ialah SR200 (RM216) dan begitulah seterusnya.

Perkhidmatan itu disediakan di antara aras tiga dan empat yang khusus untuk penggunaan skuter. Tiada aktiviti tawaf atau saie secara berjalan dibenarkan di situ.

Menurut seorang petugas, penggunaan skuter mula diperkenalkan pada musim haji tahun lalu dan ia mendapat sambutan kerana lebih menjimatkan.

“Sebelum ini jemaah yang ada masalah sama ada orang kurang upaya (OKU), sakit atau disebabkan faktor usia hanya ada satu pilihan untuk melakukan tawaf dan saie iaitu menggunakan khidmat tukang tolak kerusi roda.

“Bayarannya pula tidak seragam. Ada yang kenakan caj SR50 tapi ada juga yang meminta lebih SR100, bergantung kepada saiz badan dan tahap kesesakan di dalam Masjidilharam,” katanya.

Petugas yang hanya mahu dikenali sebagai Aziz itu berkata, perkhidmatan skuter bukan saja digunakan oleh jemaah yang kurang keupayaan fizikal, tapi juga jemaah normal yang melakukan tawaf sunat pada ketika keadaan di mataf atau dataran kaabah terlalu sesak.

Menurutnya, cara menggunakan skuter itu amat mudah iaitu menghidupkan enjin dengan kunci diberikan selepas membuat pembayaran dan menekan butang untuk menggerakkannya.

Katanya, terdapat dua butang sebagai pilihan iaitu butang tertera gambar kura-kura untuk pergerakan perlahan dan butang tertera gambar arnab untuk pergerakan lebih laju dengan tahap kelajuan maksimum 50 kilometer sejam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 10:15 PM
SKUTER pandu sendiri yang boleh digunakan jemaah yang mempunyai masalah kesihatan untuk melakukan tawaf atau saie. VIDEO Tuan Asri Tuan Hussein