LOQUE giat dengan promosi album piring hitam, Jangan Puja Sampai Kecewa. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin

Kanvas kembara seni MonoloQue atau Loque bermula sejak 1993 ketika dia menjadi pemain gitar Butterfingers.

Namun, percaturan baru dibuat pemilik nama sebenar Khairil Ridzwan Anuar, 40, ini pada 2004 dengan menubuhkan MonoloQue.

Selain Loque sebagai penyanyi, pemain gitar, keyboard dan piano, MonoloQue turut dianggotai Ijoo (gitar utama/piano), Dax, AJ Pop Shuvit & Efry Arwis (bass, keyboard, perkusi) dan Bakri Ismail (dram, gendang, perkusi).

Melalui MonoloQue, genre muzik pop dan Nusantara diperjuangkan namun yang pasti Loque sering dilihat muncul secara solo.

Apatah lagi, dengan matlamat utama Loque yang giat memperkasakan muzik Nusantara ternyata makin mendapat perhatian masyarakat.

Ditemui selepas sesi fotografi bersamanya, Loque berkata, MonoloQue masih wujud walaupun anggota lain sibuk dengan aktiviti seni masing-masing.

“MonoloQue tetap aktif walaupun saya dilihat seakan-akan bergerak sendiri. Apa yang pasti, kami masih setia bersatu. Cuma, saya selesa memberi kebebasan pada anggota band yang lain untuk mengejar peluang mereka sendiri.

“Bagi saya, MonoloQue adalah satu jenama yang semua anggotanya tidak terikat dengan tuntutan komitmen kumpulan semata-mata,” katanya.

Loque berkata, mereka selesa bebas tetapi jika ada masanya diperlukan, anggota lain akan bersama.

“Kami sebenarnya selalu ada apabila diperlukan. Malah, kini dalam proses menghasilkan album ketiga namun tidak tergesa-gesa.

“Buat masa sekarang, saya giat dengan promosi album piring hitam, Jangan Puja Sampai Kecewa yang dihasilkan tahun lalu. Album piring hitam istimewa ini dikeluarkan 300 unit dan hanya berbaki 50 unit belum dijual.

“Selain itu, saya juga giat membuat publisiti untuk album baru, Peristiwa Kampung Batu yang boleh diperoleh pendengar menerusi platform digital saja,” katanya.

Menurut Loque, dia sangat bersyukur kerana usahanya memartabatkan muzik Nusantara semakin membuahkan hasil positif.

Katanya, memang menjadi impiannya untuk giat memperjuangkan seni, budaya dan bahasa Malaysia.

Loque berkata, masyarakat Melayu masa kini perlu berbangga dengan bahasa Malaysia.

“Tidak pernah jatuh martabat seseorang itu jika bertutur dalam bahasa Malaysia yang sepatutnya menjadi jati diri bangsa. Warisan tradisi itu terus dijunjung kerana itulah akar umbi negara.

“Jangan sesekali lupa asal usul. Inilah yang saya cuba perjuangkan menerusi penulisan lirik yang puitis dan sastera. Banggalah dengan seni, budaya dan bahasa kita,” katanya.

Loque berkata, perjuangannya masih belum selesai dan dia akan gigih meneruskan usaha hingga kejayaan menjadi diimpikan jadi realiti.


BERSAMA AJ Pop Shuvit. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Seronok fesyen tengkolok jadi ikutan

Lebih dua dekad membina nama dengan berbekalkan matlamat sendiri dalam karier seni, Loque akui dia kini berasa puas.

Apatah lagi, perjuangannya dalam usaha memartabatkan seni, budaya dan bahasa makin mendapat perhatian ramai.

Malah, selain genre muzik Nusantara diketengahkan mula jadi inspirasi kepada penyanyi lain, menariknya fesyen memakai tengkolok juga sudah mula diterima baik.

“Kalau sebelum ini, ramai yang skeptikal dan berfikiran lapuk terhadap pemakaian tengkolok hanya sesuai untuk majlis perkahwinan. Namun, sebenarnya pemakaian tengkolok boleh dikomersialkan.

“Buktinya, pada Ramadan lalu rekaan tengkolok saya laris di pasaran dan kini masih mendapat tempahan yang membuatkan saya teruja.

“Tak sangka, fesyen tengkolok saya yang pernah dianggap pelik pada awalnya kini sudah menjadi ikutan. Begitu juga dengan pemakaian samping,” katanya.

Loque berkata, sebagai pencetus inspirasi kepada orang lain semestinya dia perlu lebih kreatif. Apatah lagi sebagai penggiat seni.

Sehubungan itu, dengan kerjasama Muzium Negeri Pahang, Loque akan muncul dengan album Lagu Perang yang akan dilancar sekitar September nanti.

Album yang mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan itu sangat istimewa kerana mengangkat keunikan alunan muzik gamelan untuk diketengahkan pada generasi muda.

Selain Loque dan Muzium Negeri Pahang, beberapa penyanyi lain turut terbabit dalam album ini ialah Aizat Amdan, Tomok & Manifesto dan Najwa Mahiaddin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 9:15 AM