BEASLEY (kanan) yakin dengan kemampuan Azizulhasni. FOTO Eizairi Shamsudin
Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih negara, John Beasley percaya Azizulhasni Awang akan berada pada tahap terbaik di Sukan Asia 2018, pertengahan bulan ini.

Pengendali dari Australia gembira dengan pencapaian The Pocket Rocketman meraih dua emas dan sebutir gangsa di Piala Trek China yang berlangsung di Taiyuan, minggu lalu.

“Pada saya, dia semakin menghampiri prestasi terbaiknya dan sudah mendapat rentak atau dalam bahasa sukan dipanggil sebagai ‘peak’.

“Apabila kembali ke sesi latihan, kami akan melengkapkan semua kerja keras yang diusahakan selama ini termasuk dalam aspek taktikal dan sebagainya,” katanya.

Azizulhasni bergelut dengan masalah kesihatan sejak awal tahun ini sehingga menjejaskan prestasinya di Kejohanan Dunia dan Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu.

Namun, dia kini antara sandaran utama kontinjen negara meraih sekurang-kurangnya sebutir emas di Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Pada masa sama, Beasley turut gembira dengan persembahan keseluruhan pelumba yang beraksi di Piala Trek China termasuk Mohd Fadhil Zonis yang membuktikan kemampuannya.

“Malaysia kini mempunyai tiga pelumba trek kelas dunia selepas berakhir perlumbaan di Taiyuan yang menjadikan ia satu sejarah. Tiga pelumba kini berjaya melakukan catatan bawah 10 saat dalam kelayakan pecut individu,” katanya.

Beasley merujuk kepada pencapaian Mohd Fadhil Zonis yang berjaya mengikut jejak Azizulhasni dan Shah Firdaus dengan melakukan catatan bawah 10 saat, sekali gus menjanjikan perkembangan positif terutamanya dalam acara pecut berpasukan di Sukan Asia nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 9:25 AM