Ezzah (kanan) ketika melawat arwah ketika dirawat di hospital tahun lalu. FOTO Ihsan Ezzah Aziz Fawzy
Ramlah Zainal


“ARWAH abang Dale adalah mentor saya pada awal pembabitan dalam industri penyiaran tempatan.

“Saya menganggapnya sebagai ‘Big Brother’ dalam bidang ini sejak dulu,” kata Penerbit Eksekutif Primeworks Studios, Media Prima Berhad dan bekas personaliti TV3, Ezzah Aziz Fawzy, 54.


Kenangan Ezzah bersama abang Dale pada majlis rasmi. FOTO Ihsan Ezzah Aziz Fawzy

Dia berkongsi kenangan bersama abang Dale atau Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman, 61, yang meninggal dunia di Kota Kinabalu, Sabah, awal pagi tadi, hari ini.

Menurut Ezzah yang juga rakan rapat arwah, dia mendapat berita pemergian Mahadzir menerusi adik bongsu Allahyarham, Ida Neliaty Lokman, 57, jam 12.12 tengah hari tadi.

“Ida memberitahu akan berkongsi perkembangan terkini jenazah arwah bila dia sampai di Kota Kinabalu petang ini.

“Saya mahu menziarahi keluarga arwah apabila jenazah tiba ke Kuala Lumpur nanti,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya pengalaman bersama Allahyarham, kata Ezzah, arwah banyak memberi bimbingan dari aspek penyampaian berita di TV3 sebelum ini.

“Beliau mengajar saya membuat lintas langsung, menulis skrip, suntingan visual dan protokol mengacarakan majlis rasmi.

“Arwah jugalah sering mententeramkan perasaan saya sebelum berdepan dengan kamera bersama lawak dan gurau sendanya supaya persembahan saya nampak bertenaga ketika membaca berita di TV3 dulu,” katanya.

Kata Ezzah lagi, arwah seorang yang pemurah dan selalu membawa kakitangan TV3 keluar makan ketika hayatnya dulu.

“Arwah penyayang dan suka melawak.

“Beliau rapat dengan ahli keluarganya dan arwahlah yang menjaga arwah ibunya sehingga meninggal dunia.

“Saya berdoa semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa arwah kerana pemergiannya juga pada Jumaat yang mulia ini,” katanya.

Berita berkaitan:Mahadzir Lokman sudah tiada

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 5:38 PM