Wartawan NSTP


DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis kekal milik PKR, selepas calonnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, 48, menang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu dengan majoriti 5,842.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Mohd Zawawi yang juga Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, Jalan Kebun, Shah Alam itu, memperoleh 15,427 undi.

Dua lagi calon, Datuk Lokman Noor Adam yang mewakili BN memperoleh 9,585 undi, manakala calon Bebas, K Murthy meraih 97 undi.

Keputusan PRK itu di Dewan Besar Tanjong MBSA, Seksyen 19, Shah Alam, malam ini.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR, pada 2 Julai akibat kanser limfoma.

Ia adalah PRK pertama selepas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu.

Pada PRU-14, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN itu 23,998 undi, menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 9:29 PM
MOHD Zawawi di pusat penjumlahan rasmi di Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir