KUBUR enam pejuang Melayu Besut yang dipindahkan dari Kelantan ke Kampung Alur Keladi, Jertih, pada November 2017. Gambar kanan, lakaran potret Penggawa Wan Embong.
Mohammad Ishak

Jertih: Tidak ada yang lebih memilukan selain mengenang nasib menimpa enam pejuang Melayu termasuk Penggawa Wan Embong Wan Zainal Besut yang ditanam hidup-hidup kerana menentang kezaliman pemerintahan Jepun pada 1945.

Peristiwa sedih dan malang itu masih menghantui keluarga terbabit kerana enam pejuang Melayu terbabit paling ramai dibunuh secara zalim kerana mempertahankan negara tercinta daripada pencerobohan tentera asing.

Lima lagi yang turut dibunuh bersama Wan Embong ialah Ketua Kampung Lapan Kejur Abd Karim Abd Samad dan Husain Abdullah (Ketua Kampung Dengir), Othman Mamat (Ketua Kampung Bekok), Ismail Ahmad (Ketua Kampung Teluk) dan Yatim Ahmad (Imam Surau Kampung Teluk).

Cucu saudara Allahyarham Wan Embong, Che Ku Abd Rahman Che Ku Abdullah, 75, dari Kampung Gertak Seratus, Kuala Besut, dekat sini, berkata, Wan Embong ditangkap tentera Jepun di rumahnya di Kampung Alur Keladi kerana dituduh melindungi pegawai Inggeris.

“Wan Embong dilahirkan di Kuala Besut dan selepas menamatkan persekolahan di Sekolah Melayu Kuala Besut, Allahyarham meneruskan pengajian di Pondok Haji Muhammad, Kuala Besut.

“Arwah ada empat isteri dan semua isterinya tinggal berdekatan antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Menurutnya, Wan Embong amat terkenal dalam kalangan penduduk kampung kerana dia adalah Penghulu Mukim Lubuk Kawah dan pemimpin berpengaruh di Hulu Besut.

“Arwah dan lima pemimpin Melayu lain yang ditangkap kemudiannya dibawa menaiki lori ke Jertih dan dihantar ke penjara di Kota Bharu, Kelantan.

“Selang beberapa hari kemudian mereka dibawa ke Kampung Kijang, Pantai Semut Api, Kota Bharu,” katanya.

Che Ku Abd Rahman berkata, tentera Jepun menggali satu lubang besar dan membawa bapa bersama rakan-rakan bapanya ke tepi lubang berkenaan.

“Mereka hanya berseluar pendek dengan keadaan kepala ditutup dengan guni manakala tangan diikat dan kemudiannya ditembak seorang demi seorang sebelum dihumban ke dalam lubang itu.

“Apabila tiba giliran arwah, dia ditembak sebanyak tiga das namun peluru itu tidak menembusi badannya kerana arwah dikatakan memiliki ilmu kebal,” katanya.

Selepas itu, tentera Jepun terus menembak arwah namun tidak memberi kesan sehinggalah dia ditendang hidup-hidup ke dalam lubang sebelum ditimbus tanah.

“Demikian azabnya hidup ketika zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu apabila bapa saya sendiri menjadi mangsa.

“Sebab itulah kalau boleh generasi sekarang perlu menghargai kemerdekaan negara dan terus mengekalkannya sampai bila-bila,” katanya.

Menurutya, sebagai merapatkan hubungan kekeluargaan pewaris semua keluarga yang terkorban bersetuju menggali semula kubur arwah dan rakannya serta dipindah ke tanah perkuburan Kampung Alor Keladi pada November 2017.

Che Ku Abd Rahman yang juga pengerusi Program Pengkebumian Semula Jenazah-Jenazah pahlawan Besut itu berkata, 100 ahli keluarga menghadiri majlis penkebumian semula di Kampung Aliu Keladi dekat sini.

Katanya, sempena sambutan kemerdekaan tahun ke-61 tahun ini, pihaknya akan mengadakan majlis perhimpunan keluarga Wan Embong di Kampung Alur Keladi, Hulu Besut pada 31 Ogos.

Kira-kira 1,000 ahli keluarga dijangka hadir serentak dengan pelancaran penubuhan Keluarga Penggawa Wan Embong yang akan dirasmikan Ahli Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 10:23 AM
Skip this ad x